Sunday, November 6, 2016

ADA NUR DI WAJAH MU



ADA NUR DI WAJAH MU

Sepertiga Malam
Waktu prima bagi para ‘abid
Para kembara sufi
Pencari Redha Ilahi
Ada Nur di Wajahmu

Sepertiga malam
Saat Gelombang putih terpancar
Frekuensi tinggi damai berserenjang ke Langit
Bersama gelombang, Aura dan medan magnet
Sehebat di Kaabah selari menerobos angkasa
Membuka pintau langit ‘ stargate’ memanjatkan doa-doa
Hamba-hamba yang tidak pernah putus asa
Ada Nur di wajahmu

Sepertiga Malam
Bila hati kau gilap menjadi Qalbu
Qalbu menjadi bekas Nurani
Nurani itulah Prisma pembias Nur
Nur itu cahaya diatas cahaya
Ada  Nur di wajahmu

Sepertiga malam
Tak jemu-jemu kau hidupkan
Terpancar diwajah penuh Karomah
Setiap renungan membawa rahmah
Langkah dan pekerjaanmu  beroleh barokah
Mendapat Maunnah yang sukar menjadi mudah

Sepertiga malam
Di dadamu tersimpan penawar
Segala penyakit menjadi tawar
Ketika hati jantung Minda dan jasad
Sujud mengabdi memohon ampunan Ilahi
360 ruas tulang belulang dan segala sendi berinteraksi
Suatu riadah semulajadi mengikut fitrah Fisiologi, emosi rohani
Menghambat toksik, penyakit,  jin jembalang  Iblis Sihir Mambang dan Peri
Ada Nur di wajahmu

Nashuha Jamidin Al Pontiani
Daerah sepi

Tuesday, October 25, 2016

NEGARA KU NEGARA PAK KADUK



NEGARA KU NEGARA PAK KADUK

Negaraku terkenal sekali
Bukan kerana hebat ekonomi
Bukan kerana mulia terpuji
Tetapi kerana segala lelucon ada di sini

Negaraku terkenal sekali
Bukan kerana kecanggihan teknologi
Bukan juga banyaknya universiti
Tetapi kerana pemimpinnya jadi bahan haha.. hihi

Negaraku termasyhur  utara dan selatan
Bukan kerana terbersih darat  dan lautan
Kerana orang besar…  benar tak benar dibenarkan
Manakala orang kecil… salah tak salah  disalahkan

Negaraku teratas di persada dunia
Bukan kerana pemimpinnya adil bijaksana
Kerana Kuruptor dianggap bisnes istimewa
Rakyat disogok disuap madat BRIM besekala
‘Cash is king’ Wang tunai adalah Raja cogan katanya

Negaraku sangat menonjol namanya
Bukan kerana jaguh sukan atau budaya
Tetapi jaguh membazir hata rakyat dan negara
Kerana ada derma beribu juta ke akaun Menteri Perdana

Sejarah Pak Kaduk menjadi nyata
Kini terjadi di depan mata
Dulu ku ingat ia hanya dongeng penglipur lara
Kiranya ia kejadian benar bagai dendangan selo

Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran

Hai Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan

Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.
Aduhai malang Pak Kaduk

Tuesday, October 18, 2016

ADA APA DENGAN NEKAD



ADA APA DENGAN NEKAD

Nekad…
Kau tidak ada dalam kamus Eropa
Hanya dalam kamus Melayu Nusantara
Keranamu leluhurku mampu bertahan lama
Ratusan tahun hidup di bawah penjajah durjana
Belanda, Portugis, Inggeris,  Jepun dan Inggeris semula

Nekad…
Keranamu bangsaku tidak mati kebuluran
Keranamu  penjajah lari tak sanggup bertahan
Denganmu keliling dunia Panglima Awang lakukan
Denganmu berkobar semangat jihad dan perjuangan
Denganmu juga SiJebat menuntut bela menyanggah Sultan

Nekad…
Kau adalah semangat Jihad
Saka baka leluhur dan warisan keramat
Membujur lalu melintang patah sudah dinobat
Berpantang mati sebelum ajal dipegang digenggam erat
Biar putih tulang jangan putih mata cogan kata kukuh disemat

Nekad…
Kaulah senjata ampuh di samping doa
Menjadikan kau Bangsa Gagah tak gentar siapa
Konsep tawakkalmu terpacak kejap mengatasi ragu dan alpa
Memberi tak mengharap balasan semua kerana sedeqah ibadah mulia
Yakin bahawa rezeki, jodoh pertemuan dan ajal maut semua dalam genggaman Nya

Nekad…
Bila sudah diucap disemat dan digenggam
Jangan ada yang cuba menghalang memperlekehkan
Semua menjadi kecil, mudah dan mampu dikendali dibereskan
Diiringi keikhlasan menjadi kekuatan terhebat menghambat rintangan
Kawan dan lawan mengangkat tangan tanda dirimu hebat digeruni Syaitan

Nashuha Jamidin Al Pontiani
Villa Nashuha, Sungai Petani
19 Oktober 2016


Sunday, October 16, 2016

PUISI BUAT SANG PENGUASA



PUISI BUAT
SANG PENGUASA

Jangan kau tuduh mereka pengkhianat
Kerana mereka hanya berbekal semangat
Jangan kau tuduh mereka teroris
Kerana mereka hanya membela nasib sadis tragis
Jangan kau perlekeh gerakan bersih
Kerana mereka menuntut PRU yang bersih

Dengarkan laungan dan jeritan mereka
Dengarkan hujah dan alasan logik mereka
Bersih!...Bersih!...Bersih!
Reformasi!... Reformasi!... Reformasi!
Allahuakbar!...Allahuakbar!...Allahuakbar!

Mengapa takut laungan Bersih?
Mengapa takut laungan Reformasi?
Mengapa takut laungan Allahuakbar?
Kiranya ada udang di sebalik batu
Udang kepalanya batu
Kiranya ada kerang di sebalik mee
Kerang menganga bersama kroni

Zaman diktator kuku besi sudah berlalu
Zaman siber semua info datang dari berbagai pintu
Mau kemana kau Penguasa Zalim pendusta penipu
Bila kebencian rakyat sudah bertapak di hati di kalbu
Rakyat kan bangkit menerjah menerajang menghantu
Mau kemana kau Penguasa Zalim Pendusta Penipu

Bangkit para Pahlawan para Pejuang
Leluhur kita mewariskan darah merah terbilang
Di dalam tanah jasad bergalang biar berputih tulang
Namun Kezaliman mesti ditumbangkan
Keadilan dan kesejahteraan kita tegakkan

Wahai Penguasa Zalim dan rakus
Kau hanya mengulangi kejelekan Marcos
Kejelekan para dictator dunia  buas dan rakus
Harta milik rakyat kau rompak kau faraid hingga lupus
Maruah negara, bangsa, agama tergadai terhapus

Turunlah kau sebelum terlambat
Sebelum jutaan rakyat mengejar menghambat
Jangan sampai tak sempat kau bertaubat
Ke dalam penjara kau bakal disumbat
Ingatlah Kuasa Rakyat Kuasa Keramat


Nashuha Jamidin Al Pontiani

Puncak Gunung Jerai
16 Oktober 2016