Monday, February 23, 2015

DEMI NEGARA, DEMI RAKYAT, PAS PERLUKAN REFORMASI


DEMI NEGARA, DEMI RAKYAT, PAS 

PERLUKAN REFORMASI

Tidak banyak yang boleh saya ulas mengenai Multaqa' Ulama PAS yang berlangsung baru-baru ini. Kerana saya melihat Multaqa itu tidak lebih daripada himpunan melepas kemarahan kumpulan yang disebut sebagai Ulama dalam PAS. Tidak ada resolusi yang merakyat, tidak ada perbincangan yang kritikal demi negara, yang tertonjol hanyalah sikap sebenar golongan berserban dalam PAS yang gemar mensyaitankan orang yang tidak sepandangan dengan mereka.

Oleh itu saya lebih gemar untuk berbicara mengenai masa depan PAS dan perkara yang perlu dibuat bagi memastikan parti Islam ini terus bertahan dalam arus politik nasional.

Pemenjaraan  Anwar Ibrahim serta pemergian pemimpin agung PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) semestinya memberikan kesan besar kepada perjalanan Pakatan Rakyat terutamanya PAS. TGNA adalah individu yang cukup keras mempertahankah maruah PAS daripada usaha segelintir individu yang mahukan PAS bergabung semula dengan UMNO.

Saya berani katakan usaha ini sememangnya wujud tambahan pula baru-baru ini Bekas Timbalan Presiden PAS Ust Nasharuddin Mad Isa mengesahkan bahawa beliau telah diarahkan untuk bertemu dengan pimpinan UMNO bagi memastikan usaha penggabungan ini terus berlaku.

Pengkhianatan dalaman sebegini perlu segera ditangani oleh kepimpinan Parti jika mahukan PAS terus relevan sebagai pendokong utama gabungan Pakatan Rakyat.

PAS DAN MASA DEPAN MALAYSIA
PAS adalah sebuah parti yang paling lama ditubuhkan di malaysia. Oleh itu PAS seharusnya menjadi contoh rujukan buat parti-parti lain khususnya yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat. Tetapi malangnya PAS bukan sekadar gagal menjadi contoh bahkan lebih malang PAS dilihat sebagai beban yang banyak menyumbang konflik dalam Pakatan.

PAS memerlukan kesegaran agar pergerakannya mampu seiring dengan perkembangan dunia yang serba canggih ini. PAS memerlukan Kepimpinan yang mampu menghasilkan idea-idea 'brand new' seterusnya memimpin politik baru yang berteraskan ilmu dan moral.

Kejatuhan Terengganu dan Kedah sewajarnya dijadikan medan untuk PAS bermuhasabah secara ikhlas dan bersungguh-sungguh, justeru disusuli dengan iltizam untuk berubah. Kekalahan di dua negeri ini seolah-olah membenarkan dakwaan yang mengatakan PAS hanya pandai berceramah tetapi tidak mampu memimpin. Bahkan pemergian TGNA juga meninggalkan tanda tanya besar mengenai survival PAS di Kelantan. Ramai pihak yang sudah mencongak bahawa hayat PAS di Kelantan akan berakhir seiring pemergian TGNA sebagai ikon Umara dan Ulama.

PAS PERLU SEGERA REFORMASI

Ramai yang memuji kegemilangan PAS ketika di bawah pimpinan Almarhum Ustaz Fadhil Noor sebagai Presiden. Pada ketika itulah PAS mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kerusi Parlimen yang paling banyak sekaligus merampas Terengganu daripada Barisan Nasional.

Tetapi amat mengecewakan apabila momentum kecemerlangan itu seperti gagal diteruskan oleh kepimpinan PAS hari ini. PAS bukan sahaja bermasalah dengan rakan komponen dalam Pakatan, malah konflik dalaman sesama ahli juga seperti tidak terbendung. Fitnah ahli sesama ahli dan pimpinan sesama pimpinan sudah kerap kali berlaku. Liqo’ dan Usrah yang sepatutnya menjadi tempat untuk bermuhasabah dan menambah ilmu telah bertukar menjadi tempat melemparkan hasad dengki dan adu domba.

Permasalahan ini perlu segera diperbetulkan sebelum menjadi barah yang bakal meranapkan PAS secara keseluruhan. Matlamat serta fokus perjuangan PAS harus dikembalikan. Saya yakin PAS akan kembali seperti dulu dan lebih utuh sekiranya yang mengemudi PAS kelak lebih bersikap terbuka dan berfikir diluar kerangka konservatif.

PAS memerlukan pemimpin yang mampu meletakkan PAS kembali menjadi sandaran utama Pakatan Rakyat. Kepimpinan tertinggi Parti seharusnya bijak dalam menyusun prioriti perjuangan agar segala konflik dapat ditanggapi secara berkesan.

Saya merasa sedih apabila melihat kepimpinan parti yang seharusnya menjadi penyelesai konflik, tetapi gagal mengawal emosi sehingga keluarlah kenyataan yang mampu merisikokan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Amat mengecewakan apabila pimpinan PAS terlibat dalam perang mulut antara pimpinan Pakatan secara terbuka sehingga masalah tersebut dihidu oleh masyarakat. Hal ini sudah pasti bakal mendatangkan signal negatif kepada masa depan Pakatan Rakyat.

Sekali lagi, kekalahan PAS di Terengganu dan Kedah serta masalah dalaman PAS yang berlaku ini sepatutnya mampu membuka mata dan pemikiran ahli PAS bahawa PAS memerlukan sebuah reformasi dalam kepimpinannya.

Ahli PAS perlu pastikan dalam muktamar akan datang ini, PAS akan diterajui oleh kepimpinan yang mampu mengembleng seluruh kekuatan PAS bagi memastikan kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU14 nanti.

Saya sebagai aktivis PAS yang selama ini memberi sepenuh qudrat untuk memajukan jemaah ini, yakin dan percaya bahawa hanya dengan perubahan tampuk kepimpinan, segala kemelut dalaman akan dapat diselesaikan sekaligus meletakkan PAS kembali menjadi parti harapan bukan sahaja untuk Pakatan Rakyat, tetapi juga untuk rakyat malaysia.

PERUBAHAN TERLETAK KEPADA AHLI PAS.

AIMAN ATHIRAH AL-JUNDI
KETUA PENERANGAN 
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA

Saturday, February 14, 2015

GURINDAM BUAT PEJUANG TERBILANG

GURINDAM BUAT PEJUANG TERBILANG


Sejarah berulang bagaikan roda,
Berputar seiring jarak dan masa
Si Kitol dan  Mendaliar muncul semula ,
Mencatur mencorak mengadu domba,

Akibat hasad dengki tamak haloba,
Si bijak difitnah disumbat dipenjara,
Kerana kalah bertarung di gelanggang terbuka,
Sejarah Hang Nadim berulang semula.

Sebuah daulah bernama Malaysia,
Terkenal sudah seantero dunia,
Liwat meliwat konon angkara,
Gagal Liwat pertama direka pula liwat kedua.

Saksi dan bukti gagal dibawa,
Skrip ditulis pincang semua
Ke mahkamah syariah patut di bicara,
Ke mahkamah Civil pula akhir sudahnya.

Gagal periksa dibuang univesiti,
Berjumpa PM minta biasiswa,
Sungguh istimewa si saifool Bohari,
Tuah ayam letak di kaki tuah Saifool letak di mana?

10 Februari sejarah hitam
Rayuan ditolak sudah dirancang,
Pahlawan dipenjara rakyat naik geram,
March to Freedom bakal menggoncang.

Satu dunia beri simpati,
Pemimpin hebat terus dianiaya dipenjara,
Petisyen dibuat dunia membantah penuh empati,
Penguasa zalim mula goyah, malam tidor tak lena.

5 hakim lari  tak tahan telinga,
Ucapan Si Pejuang tajam dan bisa,
Tanda bersalah diperalat Sang Penguasa,
Badan kehakiman terpalit merekayasa.

Ringgit Malaysia jatuh merudum,
Harga barangan naik melantun,
Tiada yang jatuh atau pun turun,
Tiba-tiba kapal terbang yang jatuh berdentum.

Pahlawan dipenjara harap bertenang,
Nama mu tersohor jasa mu  dijulang,
Kuatkan semangat lawan segala petualang,
Terpahat nama mu legasi pejuang terbilang.

Hubaya hubaya rakyat Malaysia sekelian,
PM disuruh meletak jawatan,
Oleh Tun M yang sudah tak tahan,
Melihat Negara jadi tak keruan

Halia itu tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya,
Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman,
Akhirat jua kekal selamanya.



Nashuha Jamidin Al Pontiani,
12 Februari, 2015