Wednesday, June 8, 2016

MUHAMMAD ALI …KAULAH HERO, KAULAH LEGENDA… PERGI MU TETAP DI KENANG (i)





MUHAMMAD ALI …KAULAH  HERO,
KAULAH LEGENDA…
PERGI MU TETAP DI KENANG
                        (i)

Is Muhammad Ali Your Hero  Nash?
Pertanyaan diaju Guru American History
Yes sir!... He is my Hero… jawab ku jujur serta bernas,
1978 Mr Cambell bertanya di dalam kelas cuba menguji

Muhammad Ali …
Diri mu disanjung dipandang hebat
Masyarakat Timur dan juga barat,
Sikap mu tegas wawasan mu  tepat
Musuh digelanggang  habis kau  lipat

Muhammad Ali
Bagaimana aksi di gelanggang
Begitulah aksi mu bila di luar
Suara mu  meninggi berani dan lantang
Pergi mu kehilangan besar diganti sukar

Muhammad Ali…
Engkaulah Hero menentang keganasan
Engkaulah Diplomat  idola pujaan
Membela hak asasi dan menentang penindasan
Enggan ke Vietnam engkau rela dipenjarakan

Kau berkata…
Bukan semua orang itu genius
Usaha  yang gigih perlu kau terus
Sakit, derita payah  jerih perih  perlu kau tebus
Putus asa dan kecewa musuh  yang perlu kau hapus


Kata mu lagi…
Tiada yang mustahil didalam dunia
Mustahil  bukan fakta hanya pendapat semata
Mustahil itu  sementara sifatnya
Mustahil itu bukannya apa-apa

Begitulah bijaknya engkau berfalsafah
Rahsia kejayaan mu  kini kau dedah
Jangan siapa cuba menyanggah
Kau dah buktikan kejayaan terserlah sudah

Sunday, June 5, 2016

ADA APA DENGAN CINTA NYA



ADA APA DENGAN CINTA NYA

Dia bukan Batu, Dia bukan Kayu
Dia itu Ar Rahman, Dia itu Ar Rahim
Dengan cintaNya
Bumi, langit dan isinya, mengatur indah

Dengan cintaNya
Mentari terus bersinar
menerpa hangat tubuh kita
Dialah muara cinta yang hakiki

Dengan cinta Nya
Tiada yang kekal abadi
Kerana kematian sentiasa menanti
Kembali  menghadapNya  bagai dijanji

Dengan cintaNya
Dia tahu hati siapa
telah terhimpun cinta kepada Nya
Telah terpahat taat kepada Nya

Dengan cintaNya
Dia tahu hati siapa
Telah menyatu dalam dakwah kepada Nya
Telah berpadu dalam membela syariat Nya

Dengan cinta Nya
Dia tahu hati siapa
Redha Islam itu agama nya
Redha Allah itu  Tuhan nya

Sunday, May 22, 2016

FATWA LEMBI



FATWA LEMBI

Apa  tanda orang berilmu
Tentu pada akhlak amalan & tingkahlaku
Bukan hati dan kepala berserabut berjerubu
Bukan Jubah dan lebai menjadi penentu

Putu bukan sebarang Putu
Putu Mayam, Putu Piring & Putu Bambu
Buntu bukan sebarang buntu
Fatwa beragam sekejap begini sekejap begitu

Politik picisan politik murahan
Kalah berhujah terus menghukum
Lembu dan babi jadi cemuhan
Fatwa Lembi dilantun berdentum

Lebih baik mengembala Lembu U***
Daripada mengembala Babi D**
Pengikut Olarmak terkedu termangu
Gerangan apa menimpa Tuan Guru **Di

Ulama berakhlak mengikut Rasul
Bicaranya berhikmah bagaikan Mutiara
Bukan sembrono  menanduk menyondol
Bicaranya kasar memfitnah mendera

Andai Lembu bisa berhujah berhemah
Andai Babi bersekolah bertazkirah
Fatwa Lembi akan dicabar di Mahkamah
Kalah menang pasti jadi bahan sejarah

Puteri dan Dayang menari  Zapin
Gununglah Banang lagu dipilih
Sedarlah diri tak mampu memimpin
Letak Jawatan Kekuatan Jamaah kembali pulih

Nashuha Jamidin AlPontiani

23 Mei 2016

Saturday, May 21, 2016

KERUSI ITU KOSONG LAGI

KERUSI ITU KOSONG LAGI
                                                               
 Kerusi  itu kosong lagi….

Ibarat tanggal nya gigi dari gusi,
Ada yang tanggal sendiri ,
Ada yang terpaksa dicabut digerudi,
kerana sudah tidak serasi,
dirasa menyakiti bagai onak duri…

Kerusi  itu kosong lagi….

SPR bergegas meniup nafiri,
Mewarta kekosongan kerusi,
Perlu diisi, dalam tempoh 60 hari,
Berkeriaulah sekalian Partai dan parti,
Mencari calon  sebaik para wali,
berwajah kuli konon sanggup mengabdi,
menabur janji,  bakti tanpa peduli,
Disebalik lobi melobi….

Kerusi itu kosong lagi…

Dari Kuala Kangsar  ke Sungai Besar,
Gegak gempita trompet GST,
Altantuya, Kroni, BRIM bersiri dan Konspirasi,
Sirul Azhar dan Saiful Bokhari,
1MDB, Kapal Selam, Hudud dan Jet Pribadi,
Menjadi halua dan racun telinga saban hari,
Berpestalah TV3, RTM berkempen berperi,
Yang hodoh dan yang comel terus menari,
Kerana,kerusi itu kosong lagi…

Kerusi itu kosong lagi….

Ada insan gagal  lena walaupun tidor,
Mengigau merepet dalam lena dan jaga,
Isu-isu mendobrak jantung, menerobos rahsia,
Menyingkap mana benar, mana bohong,
Mengheret mantan Memanda berperi dan berfatwa,
Sehingga kerusi di isi semula.

Mohd.Nashuha Jamidin Al Pontiani,
5 April, 201                 

Wednesday, May 11, 2016

YANG PELEK, PERIT DAN YANG BENGONG



YANG PELEK, PERIT  DAN YANG BENGONG

Bila hari berganti minggu,
Tak sabar Si Malik meminang si Dara,
Bagaimana mungkin fikiran rakyat tidak terganggu,
Perkara pelik dan bengong melanda negara.

Membeli raga di Paya Jaras,
Raga  dimuat si ikan parang,
Barang naik harga di katakan di selaras,
Minyak naik harga dikatakan subsidi dikurang.

Nenek  melatah terpijak harta karun,
Habis terkejut jin dan hantu terbatuk terbersin,
Harga minyak mentah dunia di laporkan turun,
Tetiba harga minyak negara ku naik lagi dua puluh sen.

Terbenam mentari di ufuk Barat,
Rembulan menyembul naik tanda patuh dan akur,
Di minta Pak Menteri memberi nasihat,
Menteri kata minyak naik harga rakyat patutnya bersyukur.

Dulu Cap Ayam sekarang cap Cendol,
Itulah peningkatan yang mesti di kekal,
Kalau ayam harga naik makanlah ikan tongkol,
Kalau harga minyak naik,  naik sajalah basikal.

Bukan Cendol sebarang cendol,
Cendol kesukaan anak Pak Hussin
Marilah contohi si Penjual cendol,
Harga minyak naik, harga cendol turun 20 sen.

Perut kerbau sakit tak terkira,,
Beruk dan kera dah lama mati ketawa,
Apa nak jadi kepada negara,
Harga barang semakin naik rakyat hidup makin sengsara.

Harga getah semakin turun,
Sawit dan padi turut merudum,
Petani nelayan semua dah gerun,
Hasil mahsul kaya ekonomi pulak mandom.

Menipu membelit si Tukang Telek,
Menelek nasib, ramalan semua bohong,
Negaraku ada lucu, perit dan banyak pelek-pelek,
Membuat fikiran yang waras menjadi bengong.

PRU dibuat selepas 4 tahun pemerintahan,
Memilih peminpin untuk masa hadapan
Undi dan penentu ada di tangan,
Janganlah lagi bengong bijak-bijaklah  buat pilihan.

Nashuha Jamidin Al Pontiani,
15 Oktober 2014.


RENUNGAN KU

                          



 RENUNGAN KU

Srengenge menyembul wajah di ufuk timur,
menyerlah panorama indah Utara Selatan Barat Timur,
kiri kanan hijau kuning warna kehidupan nan subur,
Petanda negeri kita bukan miskin tetapi makmur.

Burung unggas berterbangan berkicau berlagu,
tanpa di batasi perasaan jemu,
Tawakkal tanpa ragu yakin penuh jitu,
mengutip serangga dan kelkatu yang lesu.

Masih adakah insan yang ragu,
Akan nikmat Tuhan yang Satu,
Tanpa batas ruang dan waktu,
Memilih untuk hidup segan mati tak mahu.

Pelajarilah jatuh bangun suatu tamaddun,
imbau sejarah kegemilangan serumpun,
Melayu Melaka Islamnya dijunjung,
Empayar tersohor akhlak disanjung.

Dadah dan dedah tidak diendahkan,
bertudung litup jadi gunjingan,
Rasuah dan kronisma jadi amalan,
negara lingkup keberkatan pun hilang


 Nashuha Jamidin Al Pontiani

 17 April 2016


Sunday, May 1, 2016

MENDOBRAK KEZALIMAN

MENDOBRAK KEZALIMAN
Kamu Cenderung kepada Kezaliman!!!
Jangan sekali-kali... jangan,
Kelak Kamu disambar api neraka!!!
Lantas bagaimana??
Cegah dengan tangan!!
Tangan ku terbelenggu kaku,
Cegah dengan Lisan!!
Mulut ku terbungkam bisu,
lantas bagaimana?
Cegah dengan hati!!
Ya... yang itu aku mampu,
Tak siapa bakal tahu,
Tapi Tuhan tahu,
ahh!! Malu...malu!...
itu saja yang kau mampu?
Tidak!!!..Tidakk!!!
Aku lebih gagah dari itu!!
Lantas bagaimana??
Akan ku dobrak kezaliman itu
Patah sayap bertongkah paruh
Namun ku dobrak ku dobrak juga!!
Lantas bagaimana?
Ku dobrak lewat puisi
Ku dobrak lewat lagu ku
Ku dobrak lewat coretan ku
Ku dobrak lewat whatsaap, Chat, email, twitter dan muka buku!!!....
Ayuh!! kita dobrak kezaliman itu!
Seiring jalan berganding bahu
Agar satu dunia tahu!...
Kita bukan bangsa layu,
kita pahlawan tak gentar seteru
Jadi kebanggaan anak dan cucu.
Nashuha Jamidin Al Pontiani,
29 April 2016
LikeShow more reactions
Comment

SENANDUNG TERTIPU SUDAH

SENANDUNG
TERTIPU SUDAH
Atok & nenek berpesan sudah
Cari kawan soleh dan solehah
Mengubat hati dikala gundah
Bukan penipu perompak haram jadah.
Quran dirujuk Hadith disemak
Itullah kerja pemimpin & ulama'
Pangkat & harta jangan kau tamak
Janji dipegang sahabat dijinak
Jika dilanggar hadith dan Quran
Yg dikejar tak dapat dikendung berciciran
Musuh jadi kawan sahabat dilupakan
Fitnah yang tidur dikejut disebarkan
Akhirnya musnah Jamaah bercempera
Akibat pemimpin suka berpura
Flip Flop tindakan dusta bicara
Musuh disanjung dipeluk mesra
Pakaian sedondon duduk bersanding
Berbaju pink siap bersampin
Menjadi Penasihat konon membimbing
Skandal 1MDB buat serban terkalih terpusing
Bila tindakan bersifat khianat
Jamaah berpecah musuh jadi kuat
Yang tinggal pencacai minda terencat
Gagal berhujah perilaku semakin bejat
Wahai ahli yang sayang Jamaah
Kapal nak karam nakhoda menggelabah
Tukarlah nakhoda yg hampir rebah
Lantik yang baru yg lebih gagah
Nashuha Jamidin Al Pontiani
1 Mei 2016

Saturday, April 16, 2016

KABINET DEDAK

KABINET DEDAK
Akan perihal Menteri Perdana
Antah Berantah negeri bernama
Dah Kacau bilau ditimpa bencana
Kabinet Dedak memerintah negara
Lama sudah disuap dedak
Sampai menyumbat anak tekak
Bernatijah semua jadi Pekak
Pekak maksima Pekak Badak
Tiba-tiba terpacul pengakuan
Menteri bacul lagi tidak karuan
Memang dedak jadi santapan
Sejak dulu Menteri Perdana hidangkan
Bukan menteri N saja di umpan dedak
Semua menteri kabinet sama melantak
Gemok tembam bak ayam ternak
KABINET DEDAK Si Pekak Badak
Banyak kerosakan di sini sana
Prasana pulak tidak disenggara
Kabinet Dedak terus sandiwara
menanti waktu dihumban ke neraka

Mohd.Nashuha Jamidin Al Pontiani,
16.4.2016

Sunday, April 10, 2016

HIDUP ITU SUATU PERJALANAN


HIDUP ITU SUATU PERJALANAN


1.1.1966 seperti baru semalam berlalu,
Waktu tangan ini menggalas beg sekolah dibahu
Berbekal sebotol kopi hangat, nasi panas dibungkus upih
Menyusur denai jalan kampong becah berkasut plastik putih
Melapor diri darjah satu SKSJ dengan buta huruf tak pernah kenal Prasekolah

Cikgu Sahli @ Kamson guru pertama ku sandar,
Mengajar membimbing  memegang pensel penuh sabar
Menulis A, B, C yang tak pernah ku  tahu selain alif ba ta & lukis gambar
Tidak seperti si Abu Bakar anak orang berada pandai menulis ini , itu & gambar
Bajunya putih kain siam Berkanji berseterika bersait tajam kemas tempat ku bersandar

Vokabulari Bahasa Melayu amat terhad,
Seharian sejak lahir bertutur Bahasa jawa sekampung muafakat,
Cakap Melayu  pelek dan pelat.. hanya seorang  Bugis menjadi rakan entah mana sesat,
Ambok Zakaria Ambok Masek  nama diberi barangkali keturunan Daeng Marewak Daeng Celat,
Dengan dialah berkomunikasi Bahasa Melayu sebab yang lain semua jawa kopi O kaw dan pekat

Habis muka pertama Cikgu Sahli minta  murid kaleh muka surat,
“Ambik buku lain buat alas” untuk melapik agar tidak koyak muka surat
Yang aku faham hanya perkataan “alas” dalam Bahasa jawa bermaksud hutan yang lebat,
Bravo!!! tetiba minda ku seronok kerana ku sangka cikgu Sahli suruh melukis alas (hutan lebat),
Apa lagi… ku lukis hutan segala flora..menconteng semau ku ‘alas’ hingga  penuh muka surat.

Kah!…kah!…kah!…kah!... awatlah hang ni loghartt!!!!!!
Kera dalam hutan pun boleh mati ketawa….Kah…kah…kah…

Cikgu Sahli penuh diplomasi santun duduk disebelah ku
Bertanya gerangan apa yg aku tulis didalam buku..kenapa conteng begitu..
Sepatah ku jawab ‘alas’ cikgu, lalu dia ketawa terbahak-bahak memegang tangan ku
Dibimbingnya tangan ku menulis 1  2  3 …..9 sampai lenggok di jari jemari ku menguasai (tahu)

Di akhir tahun persekolahan darjah satu aku beroleh nombor 35
Jumlah murid dalam kelas 39 orang, nasib baik aku tidak corot terkebelakang
Balik di rumah jadi bahan ketawa kakak dan abang, nombor 35 ku ingat sampai sekarang
Aku tetap rasa bangga kerana tidak pernah kacau orang bahkan Cikgu Sahli  merasa sayang
Mungkin kerana aku pandai menyanyi lagu 60an seluruh kelas rasa terhibur dan puji menjulang

1.1.1967 aku naik ke darjah dua dengan sedikit pengetahuan sedia ada,
Sudah tahu menulis membaca  mengira berkat ajaran Cikgu Sahli  bijaklaksana,
Cerdik berbanding sebelumnya,  banyak bermain belum berdisiplin seperti selayaknya,
Cikgu Sahli masih terus menjadi guru kelas penuh berwibawa tanpa jemu bahkan kami suka.
Dalam bilik darjah sudah ku kenal mana yang bijak mana yang terpinga2 untuk jadi kawan setia.

Ketuk ketampi, pulas telinga dah jadi hukuman biasa,
Tak pernah kecil hati atau mengadu kepada ayah dan bonda,
Paling takut jika disandingkan dengan murid perempuan yang comel manja,
Teramat malu,  jatuh maruah diri merasa tidak seperti budak sekarang merasa suka,
Dua zaman yang berbeza akibat perubahan gaya hidup dan budaya yang sudah tercela ternoda.

Bila minda dah mula sedar seiring cahaya menerangi kegelapan,
Nombor 20 kedudukan dalam kelas Peperiksaan penggal pertengahan ,
Satu peningkatan berlaku secara diam-diam hati gembira dah mula tertanam,
Motivasi meningkat menjadi insan, bukan nya lembab tetapi baru dapat kesempatan,
Kalau asal benih yang baik, dilambung  dicampak  kan menjadi pulau pabila jatuh di lautan.

Masa berlalu begitu pantas,
Minda dan kesedaran semakin cerdas,
Persaingan dirasa di dalam kelas, belajar dan membaca tak boleh culas,
 Cikgu Sahli mengajar Ilmu pelita penyuluh kegelapan sudah semakin jelas dan tuntas,
Peperiksaan akhir tahun meningkat kedudukan Top Ten dapat nombor 6 di dalam kelas

1.1.1968 Ke Darjah 3 aku di naikkan,
Bertitik tolak sejarah dan jatuh bangunnya seorang insan,
Mendapat guru kelas yang amatlah garang, kecut perut setiap kali berdepan.
Roti panjang (Pembaris besar) sentiasa menjadi senjata tak lepas dari tangan,
Cikgu Lani (Maulani) nama di beri terkenal  sangat tegas, cerewet dan ya Allah GARANG!!

Aku berdepan dengan Cikgu Lani, rasa tersiksa nak lepas lari,
Mula ku benci tidak terperi, mengajar matematik semua diminta berdiri,
Berkumpul di depan papan tulis setiap hari menghafal sifir 2 hingga 16 sudahlah pasti,
Diterangkan dengan jelas campor tolak dan darab bahagi, tidak mengantuk nak main tak berani,
Soalan belum habis ditanya jawaban mesti dah ready jika tidak roti panjang hinggap dahi.. aduiii

Baru ku sedar siapa sebenar diri ku ini,
Perlukan guru garang kerana putih warna peribadi,
Hanya itu boleh meningkatkan motivasi dan paras enxity,
Budak nakal yang perlukan leteran, ketuk ketampi dan rotanlogi,
Penggal pertama nombor SATU dalam darjah 3 kini telah menjadi realiti .

Balik sekolah alangkah gembira rasa di hati,
Ingin ku kabarkan kepada dunia kejayaan nombor satu ku ini,
Cikgu Lani orang pertama ucapkan syabas sambil tersenyum menampakkan gigi,
Hari besejarah sempena lahirnya adik bongsuku Mohd. Sabilan yang comel  berseri,
Ku kabarkan kepada abang kakak ibunda  serta ayah tercinta namun mereka kaget tak terperi,
Kerana aku anak yang kurus kering mula memecah tradisi membawa berita baik untuk dikongsi.

Abang Shahrol mati-mati tidak percaya,
Memperlekeh mempertawa bagaikan dirasuk jembalang senja,
Nak buat BUBUR HIJAU kalau benar bagai ku cerita bukan BUBUR MERAH tradisi Jawa,
Lalu ku tunjukkan Buku Rekod Penyata , dia membelek-belek belum mahu percaya juga,
Sesuatu yang mustahil boleh ku capai setelah dulu dia tahu aku pernah dapat nombor 35.

Semuanya berpunca dari Cikgu Sahli dan  Cikgu Lani,
Berjaya menimbulkan enxity dan memotivasi murid yang kurang serba serbi,
Nombor satu dan dua bersilih ganti sehingga darjah 6 rekod ku pegang tiada henti,
Juara Syarahan, juara Musabaqah Qur’an,  juga nasyid serta menyanyi dan drama tari,
Tak kurang juga jasa Cikgu Abdullah, Abd Razak Benu,  Suhud, Hussin,  Samuri dan Cikgu Samsi.

SKSJ ku tinggalkan dengan penuh kenangan suka dan duka,
1.1 1972 ku melangkah ke hadapan menjadi kumpulan terawal SMPB di awal remaja,
Sek. Men. Parit Betak tingkatan satu hingga tiga mencipta kenangan indah tak dapat ku lupa,
Menggondol berbagai anugerah, akademik, kokurikulum, teruskan legasi pelajar ceria dan jaya,

Di bawah bimbingan Cikgu Sudin, Ust Zahari, Cikgu Wahab, C. Mat Itam, C. Fatimah dan lainnya.

Sunday, April 3, 2016

NEGERI KU KENDURI RASUAH


NEGERI KU
KENDURI RASUAH

                                                Negeri ku sedang kenduri  Rasuah….
Wah!... Wah!... Wah!...
                                                Bukan Kenduri Arwah!!!
                                                Kah!…kah!…Kah!…

                                                Rakyat papa kedana mis mentakadarah…
                                                pemimpin hidup berpoya  bermewah-mewah…
Rah!...rah!...rah!...
  Wah!...Wah!...Wah!...

                                                Ulama  Gagal mentarbiyah
                                                Tok Lebai bangga memakai jubbah
Yah!...Yah!...yah!... 
  Bah!...bah!!!...bah!...

                                                Menghulur  tongkat  Penzalim Perasuah
                                                Menanti waktu untuk rebah
Menjadi penasihat membawa punah…
                                                Bah!....bah!...bah!...
Nah!...Nah!...Nah!...

Seringgit 80 sen sekilo getah…
18 ringgit sekilo termenung baru dipunggah…
Tah!...tah!...tah!...
Gah!...gah!...gah!...

Kemarau,  panas  takut nak keluar si susu getah…
Bahana ketakutan raksasa   bernama JibMah…
Tah!...tah!...tah!...
Mah!...Mah!...Mah!...

                                                Semakin hari kes baru bertambah-tambah…
                                                Berbaris menunggu utk di dedah…
Tak sudah-sudah…
Dah!...dah!...dah!...
Negeri ku banyak kenduri  rasuah

Nashuha Jamidin al Pontiani,
30 Mac 2016


Tuesday, March 8, 2016

GURIDAM MEREKA YANG TERSUNGKUR

GURIDAM  MEREKA YANG TERSUNGKUR

Parti tua itu sudah uzur,
Urat saraf pun sudah kendur,
Tidak siapa pun yang terliur,
Ibarat buah memburuk menunggu gugur.

Pun  begitu tok Ketua masih berkeras,
Sementara rakyat semakin tak waras,
Akibat sudah tidak ada beras
Tiada beras,tidak waras dan tidak Keras.

Tok Ketua terus bernafsu besar ,
Tak sedar tenaga  kurang sering tersasar,
Mata pula semakin berpina-pinar,
Menghimpun harta segala dollar dan dinar.

Konon Derma datang mencurah,
Masuk akaun peribadi dari Negara Jazirah,
Bila dinafi katanya penderma dah jadi arwah,
Tok Ketua terus terusan hidup bermegah bermewah.

Seringgit enam puluh sen  sekilo getah,
Lapan belas ringgit sekilo Termenung  naik sudah,
Jangankan nak makan nasi beras Faizah,
Nasi Beras hancur pun kini dah susah nak jamah.

Banyak kerosakan dalam Negara,
Akibat pemimpin culas, zalim dan durjana,
Takut matinya tak dapat nak  pejam mata,
Tun M turun gelanggang nak perbetul angkara.

Hubaya-hubaya  sahabat budiman,
Yang benar jadi salah yang salah jadi sanjungan,
Yang  dikejar tak dapat yang dikendung berciciran,
Yang amat hairan Ulama berlebai berserban menyokong kezaliman.

Ada Nakhoda tidak berwibawa,
Pecahlah Jamaah pecahlah bahtera,
Akhirnya ahli, sahabat seperjuangan  dihina di cerca.
Cenderung kezaliman , sipenzalim dipeluk dipuja.

Akibat Kepimpinan Ulama  Teruja terkesima,
Pesona ego, kalah Kalibar dan  kalah karisma,
Golongan Progressif disingkir secara kotor tak ikut etika,
Lahirlah pengikut Walaun mengangguk mengiyakan senantiasa.


Mohd. Nashuha Jamidin Al Pontiani,
8 Mac 2016

Wednesday, January 13, 2016

PUISI BUAT SAHABAT KU YANG BARU KEMBALI MENGHADAP ILAHI....ALMARHUM DR BAHARUDDIN YAACOB

KETIKA KAU PERGI TANPA PAMIT

Jam 2.00 pagi hari  itu…
gugur butiran air mata di wajah Ku
Hibanya hati melepaskan KAU pergi
Bukan tidak redha,
Tapi itulah hati seorang TEMAN
pasti ada rasa kasih dan ikatan!
Pada akrab sekian lama yang terpisah oleh kesibukan

Namun hakikatnya ia bagai isi dgn kuku…
Ku gagahi,  ku insafi seadanya,
bahawa hakikatnya kita semua hamba
Yang terpaksa akur dengan takdir-Nya
Jalan mujahadah menggamit kelangsungan budi
Setia seorang teman menabur jasa kpd bakal murabbi
Sepenuh jiwa raga, moga kau ditempatkan di Syur
makam itu cuma semadi jasad…
Tapi dian batinnya terus menyala
Pada sebuah amanat di sisi teman setia
Yang kaget dan terkesima

Ya Ilahi Robbi….
Sesekali ketika rawan diusik kenangan…
Berteduh di sejuk wudhuk menawar gundah
Istirahat hati pada satu hakikat…
Kasihku hanya sedebu Kasih-Nya
Ku relakan kau  pergi…
Menemui teman mu di daerah tinggi!
Aku yang kau tinggal,
Kapan saja bakal menyusul pergi….

Mohd.Nashuha Jamidin Al Pontiani,
13 Januari 2016