Monday, March 30, 2015

SENANDUNG JANJI MENTERI





SENANDUNG JANJI MENTERI

Ini Senandung ingin berperi,
Senandung di cipta si bijak jauhari,
Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama jadi Menteri.

PRU13, beri lah BN sepenggal lagi,
Untuk buktikan Janji pasti di tepati,
Sekarang ini gerangan apa sudah terjadi,
Janji dimungkiri, Janji bertukar jadi CAPATI,

Professor Diraja berjasa berbakti,
Ungku Aziz  tak perlu diperkenalkan,
Beraja di mata Bersultan di hati
Rakyat diperkudakan,  tamak pemimpin diutamakan.

Pucuknya angkuh memanjat bukit,
Tak sedar akar terendam air parit,
Rakyat mengeluh lelah dan sakit,
Sedikit diberi banyak di ungkit.

Pucuknya angkuh memanjat bukit,
Tak sedar akar terendam air parit,
Bagaikan melepas anjing tersepit,
Dah jadi pemimpin rakyat digigit.

 Pucuk angkuh memanjat bukit,
 Jalan tak sedar kaki terbelit,
Serakah rakus mengaut duit,
Rakyat juga terperah tersepit.

Kera dihutan disusukan,
Anak sendiri mati kelaparan,
Bantahan rakyat dibakulsampahkan,
Tangkapan dibuat utk menakut2kan.

Derita rakyat bertambah malang,
GST membajak belakang tulang belulang,
Jangan sampai sejarah berulang,
Sultan Mahmud mangkat di Julang.

Mahathir, Tengku Razaleigh menolak GST,
Minta kerajaan hapus, batal atau di kaji  justifikasi,
Najib degil laksanakan terus sudahlah pasti,
Walau dibantah ribuan rakyat berdemonstrasi.

Hutang Negara 1 trillion jumlah semua,
Bertambah parah 1MDB punya angkara,
Si Kaya bertambah kaya  Si Miskin papa kedana,
Rakyat di tindas, zahir dan batin tambah sengsara.

Lawan tetap lawan selogan pejuang,
Lokap dan penjara  bagai  Rumah Tumpangan,
Semoga tabah kuat iman dan semangat juang,
Harum nama mu kan dikenang sepanjang  zaman.

Mohd.Nashuha  Al Pontiani,

30 Mac 2015.

Monday, March 23, 2015

GURINDAM BUNGA BOURGAINVILLA



GURINDAM BUNGA BOURGAINVILLA
Sungguh indah bunga di halaman,
Bourgainvilla nama diberi,
Hati ku gundah bertambah rawan,
Mengenang Amal sedikit di usia begini.
Merah jingga Lembayung senja,
Di dalam air nampak berbayang,
Di kala usia meniti senja,
Munajat dan Taubat jangan kepalang.
Bunga kertas buat hiasan
Warna berseri harum tiada,
Dunia pentas sebuah lakonan,
kita kan kembali ke akhirat selamanya.
Berbunga lebat menawan mata,
sejambak dibawa ke singgahsana,
Semoga Taubat dan ampunan diterima,
Ke dalam syurga di tempatkan kita semua.
Nashuha Jamidin Al Pontiani,
23 Mac 2015.

Tuesday, March 17, 2015

PEJUANG



               PEJUANG
Menyusur paya Sang rajawali,
Merajuk kiranya hati tersayat,
Sesal hanya datang sekali,
Tapi siksanya sepanjang Hayat,
Luka berparut berabad-abad. 


Namun pejuang tak pernah goyah, 
Saat matanya dicungkil buta, 
darahnya mengucur tersiksa,
tanganya diikat waja, 
kakinya dirantai sula. 

Semangat melawan sentiasa gagah, 
Biar ditohmah mau pun difitnah, 
Kalaulah itu menjadi fitrah , 
Kepada Ilahi pasrah  berserah. 

Sejarah Todak kerap berulang, 
Membuat hati bertambah walang,  
Ada pemimpin karimastik lagi terbilang,  
Ke dalam penjara ditendang diterajang.
  
Marilah lonjakkan akal dan fikrah,  
Mentafsir kata dengan sempurna,  
Akal tak pernah mengalah bermuhasabah,  
kerana akal membijaksanakan manusia.

Namun selamanya ramai pengembiri akal dan minda, 
Tak kira professor, teknokrat mau pun orang desa , 
Kerana akal membijaksanakan manusia, 
Mendobrak kezaliman kebejatan Sang Penguasa. 

Bangunlah dari lena dan khayal, 
kita kembalikan kata kepada lidah, 
kita pulangkan pandang kepada akal, 
kita ubahkan rajuk kepada tindakan ...UBAH!!!
Mohd.Nashuha Jamidin Al Pontiani,
18 Mac 2015

Monday, February 23, 2015

DEMI NEGARA, DEMI RAKYAT, PAS PERLUKAN REFORMASI


DEMI NEGARA, DEMI RAKYAT, PAS 

PERLUKAN REFORMASI

Tidak banyak yang boleh saya ulas mengenai Multaqa' Ulama PAS yang berlangsung baru-baru ini. Kerana saya melihat Multaqa itu tidak lebih daripada himpunan melepas kemarahan kumpulan yang disebut sebagai Ulama dalam PAS. Tidak ada resolusi yang merakyat, tidak ada perbincangan yang kritikal demi negara, yang tertonjol hanyalah sikap sebenar golongan berserban dalam PAS yang gemar mensyaitankan orang yang tidak sepandangan dengan mereka.

Oleh itu saya lebih gemar untuk berbicara mengenai masa depan PAS dan perkara yang perlu dibuat bagi memastikan parti Islam ini terus bertahan dalam arus politik nasional.

Pemenjaraan  Anwar Ibrahim serta pemergian pemimpin agung PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) semestinya memberikan kesan besar kepada perjalanan Pakatan Rakyat terutamanya PAS. TGNA adalah individu yang cukup keras mempertahankah maruah PAS daripada usaha segelintir individu yang mahukan PAS bergabung semula dengan UMNO.

Saya berani katakan usaha ini sememangnya wujud tambahan pula baru-baru ini Bekas Timbalan Presiden PAS Ust Nasharuddin Mad Isa mengesahkan bahawa beliau telah diarahkan untuk bertemu dengan pimpinan UMNO bagi memastikan usaha penggabungan ini terus berlaku.

Pengkhianatan dalaman sebegini perlu segera ditangani oleh kepimpinan Parti jika mahukan PAS terus relevan sebagai pendokong utama gabungan Pakatan Rakyat.

PAS DAN MASA DEPAN MALAYSIA
PAS adalah sebuah parti yang paling lama ditubuhkan di malaysia. Oleh itu PAS seharusnya menjadi contoh rujukan buat parti-parti lain khususnya yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat. Tetapi malangnya PAS bukan sekadar gagal menjadi contoh bahkan lebih malang PAS dilihat sebagai beban yang banyak menyumbang konflik dalam Pakatan.

PAS memerlukan kesegaran agar pergerakannya mampu seiring dengan perkembangan dunia yang serba canggih ini. PAS memerlukan Kepimpinan yang mampu menghasilkan idea-idea 'brand new' seterusnya memimpin politik baru yang berteraskan ilmu dan moral.

Kejatuhan Terengganu dan Kedah sewajarnya dijadikan medan untuk PAS bermuhasabah secara ikhlas dan bersungguh-sungguh, justeru disusuli dengan iltizam untuk berubah. Kekalahan di dua negeri ini seolah-olah membenarkan dakwaan yang mengatakan PAS hanya pandai berceramah tetapi tidak mampu memimpin. Bahkan pemergian TGNA juga meninggalkan tanda tanya besar mengenai survival PAS di Kelantan. Ramai pihak yang sudah mencongak bahawa hayat PAS di Kelantan akan berakhir seiring pemergian TGNA sebagai ikon Umara dan Ulama.

PAS PERLU SEGERA REFORMASI

Ramai yang memuji kegemilangan PAS ketika di bawah pimpinan Almarhum Ustaz Fadhil Noor sebagai Presiden. Pada ketika itulah PAS mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kerusi Parlimen yang paling banyak sekaligus merampas Terengganu daripada Barisan Nasional.

Tetapi amat mengecewakan apabila momentum kecemerlangan itu seperti gagal diteruskan oleh kepimpinan PAS hari ini. PAS bukan sahaja bermasalah dengan rakan komponen dalam Pakatan, malah konflik dalaman sesama ahli juga seperti tidak terbendung. Fitnah ahli sesama ahli dan pimpinan sesama pimpinan sudah kerap kali berlaku. Liqo’ dan Usrah yang sepatutnya menjadi tempat untuk bermuhasabah dan menambah ilmu telah bertukar menjadi tempat melemparkan hasad dengki dan adu domba.

Permasalahan ini perlu segera diperbetulkan sebelum menjadi barah yang bakal meranapkan PAS secara keseluruhan. Matlamat serta fokus perjuangan PAS harus dikembalikan. Saya yakin PAS akan kembali seperti dulu dan lebih utuh sekiranya yang mengemudi PAS kelak lebih bersikap terbuka dan berfikir diluar kerangka konservatif.

PAS memerlukan pemimpin yang mampu meletakkan PAS kembali menjadi sandaran utama Pakatan Rakyat. Kepimpinan tertinggi Parti seharusnya bijak dalam menyusun prioriti perjuangan agar segala konflik dapat ditanggapi secara berkesan.

Saya merasa sedih apabila melihat kepimpinan parti yang seharusnya menjadi penyelesai konflik, tetapi gagal mengawal emosi sehingga keluarlah kenyataan yang mampu merisikokan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Amat mengecewakan apabila pimpinan PAS terlibat dalam perang mulut antara pimpinan Pakatan secara terbuka sehingga masalah tersebut dihidu oleh masyarakat. Hal ini sudah pasti bakal mendatangkan signal negatif kepada masa depan Pakatan Rakyat.

Sekali lagi, kekalahan PAS di Terengganu dan Kedah serta masalah dalaman PAS yang berlaku ini sepatutnya mampu membuka mata dan pemikiran ahli PAS bahawa PAS memerlukan sebuah reformasi dalam kepimpinannya.

Ahli PAS perlu pastikan dalam muktamar akan datang ini, PAS akan diterajui oleh kepimpinan yang mampu mengembleng seluruh kekuatan PAS bagi memastikan kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU14 nanti.

Saya sebagai aktivis PAS yang selama ini memberi sepenuh qudrat untuk memajukan jemaah ini, yakin dan percaya bahawa hanya dengan perubahan tampuk kepimpinan, segala kemelut dalaman akan dapat diselesaikan sekaligus meletakkan PAS kembali menjadi parti harapan bukan sahaja untuk Pakatan Rakyat, tetapi juga untuk rakyat malaysia.

PERUBAHAN TERLETAK KEPADA AHLI PAS.

AIMAN ATHIRAH AL-JUNDI
KETUA PENERANGAN 
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA

Saturday, February 14, 2015

GURINDAM BUAT PEJUANG TERBILANG

GURINDAM BUAT PEJUANG TERBILANG


Sejarah berulang bagaikan roda,
Berputar seiring jarak dan masa
Si Kitol dan  Mendaliar muncul semula ,
Mencatur mencorak mengadu domba,

Akibat hasad dengki tamak haloba,
Si bijak difitnah disumbat dipenjara,
Kerana kalah bertarung di gelanggang terbuka,
Sejarah Hang Nadim berulang semula.

Sebuah daulah bernama Malaysia,
Terkenal sudah seantero dunia,
Liwat meliwat konon angkara,
Gagal Liwat pertama direka pula liwat kedua.

Saksi dan bukti gagal dibawa,
Skrip ditulis pincang semua
Ke mahkamah syariah patut di bicara,
Ke mahkamah Civil pula akhir sudahnya.

Gagal periksa dibuang univesiti,
Berjumpa PM minta biasiswa,
Sungguh istimewa si saifool Bohari,
Tuah ayam letak di kaki tuah Saifool letak di mana?

10 Februari sejarah hitam
Rayuan ditolak sudah dirancang,
Pahlawan dipenjara rakyat naik geram,
March to Freedom bakal menggoncang.

Satu dunia beri simpati,
Pemimpin hebat terus dianiaya dipenjara,
Petisyen dibuat dunia membantah penuh empati,
Penguasa zalim mula goyah, malam tidor tak lena.

5 hakim lari  tak tahan telinga,
Ucapan Si Pejuang tajam dan bisa,
Tanda bersalah diperalat Sang Penguasa,
Badan kehakiman terpalit merekayasa.

Ringgit Malaysia jatuh merudum,
Harga barangan naik melantun,
Tiada yang jatuh atau pun turun,
Tiba-tiba kapal terbang yang jatuh berdentum.

Pahlawan dipenjara harap bertenang,
Nama mu tersohor jasa mu  dijulang,
Kuatkan semangat lawan segala petualang,
Terpahat nama mu legasi pejuang terbilang.

Hubaya hubaya rakyat Malaysia sekelian,
PM disuruh meletak jawatan,
Oleh Tun M yang sudah tak tahan,
Melihat Negara jadi tak keruan

Halia itu tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya,
Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman,
Akhirat jua kekal selamanya.



Nashuha Jamidin Al Pontiani,
12 Februari, 2015

Thursday, December 25, 2014

BANJIR ITU DATANG LAGI.... MENUTUP TIRAI 2014 TAHUN MASEHI,


BANJIR ITU DATANG LAGI....
MENUTUP TIRAI 2014 TAHUN MASEHI,
Banjir yang menggerunkan,
Genangan air dan deras arus sungai yang menyengsarakan,
Namun langkah kaki dan kehidupan mesti diteruskan,
Menyusuri jalan yang sama yang sudah tenggelam,
Dalam ketermanguan dan kelam yang meresahkan.
Bumi kita memang seakan diam.
Namun menyimpan amarah yang terpendam.
Disaat dosa menumpuk diatasnya.
Alam bergerak selaksa murka..
Hanya beberapa minit saja.
Semua tak akan mampu lari dari hukuman-Nya..
Dalam Hangat pelukan mentari.
Diri terbalut mendung keresahan.
Resah bila bumi tak sudi lagi dipijak.
Resah jika laut tak mampu lagi memikul airnya.
Resah jika gunung tak sanggup lagi berdiri tegak.
Namun roda ekonomi terus berlari.
Tiada perduli akan kebanjiran ini.
Dan tetap berteman genangan air.
Dari terbit fajar hingga mentari berakhir.
Anak-anak sekolah tiada tahu apa-apa,
Akan kerakusan para pemilik kuasa,
Membabat hutan dengan semaunya,
Sambil tertawa di singgahsana istananya.
Insaf dan sedarlah wahai kawan,
Bumi ini adalah kepunyaan Tuhan,
Yang dititipkan kepada kita insan,
Untuk mewariskan pada generasi masa depan...
Mohd. Nashuha Jamidin AlPontiani,
26 Disember, 2014

Thursday, November 20, 2014

ASAL USUL ISIS

ASAL USUL ISIS

Rencana ini dipetik dari Tukar Tiub. Semoga mendapat pencerahan.

November 16, 2014 "ICH" - "The Independent"- The Islamic State (Isis) has recruited an army hundreds of thousands strong, far larger than previous estimates by the CIA, according to a senior Kurdish leader. He said the ability of Isis to attack on many widely separated fronts in Iraq and Syria at the same time shows that the number of militant fighters is at least 200,000, seven or eight times bigger than foreign in intelligence estimates of up to 31,500 men.
  • Akhbar INDEPENDENT – 16 November 2014

Dari mana agaknya perlu saya mulakan surah ini. Dari detik mana wajib saya jadikan patukan kelahiran ISIS. Saya bertanya kerana saya ingin berlaku adil ketika kita besama-sama membaca salasilah dan memahami ISIS.

Kepada anak-anak muda biar saya nyatakan bahawa pada 11 September  2011 dua bangunan World Trade Center di New York telah meledak dilanggar oleh kapal terbang penumpang. Juga Bangunan 7 dengan tak semena mena telah runtuh. Ini 12 tahun dahulu. Semenjak itu dunia yang kita diami ini telah berubah. Dunia hari ini bukan saperti dunia sebelum ledakan WTC.

Biar saya rungkai sejarah. Ketika ledakan 9/11 berlaku saya dikurung di Kamunting. Justeru, tidak banyak lambakan berita yang masuk. Tetapi saya masih ingat bagaimana pada minggu pertama satelah 9/11 ada muncul 'kesah' ajen Saddam Hussein bertemu dengan wakil Mohamed Atta di Praque. Muhamad Atta – dikatakan dari kumpulan Al-Qaeda. Si Atta ini juga pemimpin 19 'pengganas' yang dikatakan telah meledakkan WTC.

Bagitu pantas risikan Amerika telah mengetahui rancangan Al-Qaeda. Malah maklumat ini dikatakan telah diketahui 5 bulan sebelum ledakan. Tetapi, hairan bin takjub - TIDAKada apa-apa yang dilakukan.

Akhirnya pada 19 March 2003 Iraq telah diserang oleh Amerika atas tuduhan Saddan Hussein memiliki Senjata Pemusnah - weapon of mass destruction. Tetiba kesah Saddam bersubahat dengan Al-Qaeda meledakkan WTC hilang ghaib bagitu sahaja.
Saya mengulangi-ulangi kesah ini kerana saya merasa terpanggil oleh sejarah untuk merakamkan apa yang telah berlaku satu dekad yang lalu. Iraq dan Saddam Hussein tewas. Presiden Iraq ini digantung mati. Tetapi perangTIDAK mengendur tapi berterusan dan hari ini semakin melebar.

Satelah Baghdad jatuh yang datang menjadi wakil Rumah Puteh ke Baghdad ialah seorang diplomat bernama Paul Bremer. Langkah pertama Mamat Bremer ini telah meruntun dan memusnahkan apa sahaja lembaga-lembaga daulah dari kerajaan Saddam. Pegawai kerjaaan, guru sekolah, pensyarah, pemandu, wartawan semua dibuang kerja.

Paling memeranjatkan dunia ialah apabila semua askar, soldadu dan pegawai polis Irag dilucutkan senjata. Beratus ribu hilang pekerjaan.

Mengikut lojik Bremer - semua ini dilakukan untuk memastikan semangat dan kesetiaan terhadap nasionalis Saddam dan parti Baath dapat dilupuskan.

Maka perang gerila anti-Amerika dan anti-kolonial bermula. Perang gerila ini ini dipandu dan dipimpin oleh bekas soldadu dan tentera yang masih setia dengan Saddam. Mereka terdiri dari pelbagai jalur termasuk kaum nasionalis, kaum agamawan juga dari kabilah-kabilah suku Badwi yang memiliki kesetiaan lepada ketua kabilah.
Perang gerila ini menghuru harakan Rumah Puteh. Ramai soldadu Amerika dan sekutunya gugur. Langkah Bremer melupuskan tentera Saddam dilihat sebagai satu kesilapan besar. Maka satu taktik baru dimunculkan.

Saperti kuasa kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu dan berhadapan dengan Perang Gerila Rakyat Malaya – Amerika juga menggunakan taktik 'pecah perentah'. Kalau di Tanah Melayu – kaum Cina dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan Melayu. Di Tanah Melayu Cina dan Melayu digaduh-gaduhkan. Di Iraq – penganutSunni dan Shia digaduh-gaduhkan.

Satu malam yang gelap ajen Amerika secara sulit telah meledakan Masjid Sunni. Satu minggu kemudian ajen yang sama telah meledakkan Masjid Shia. Pemimpin Sunni dibunuh. Pemimpin Shia dibunuh. Semua ini dilakukan beruang-ulang. Akhirnya setia kawan yang dibina dizaman kerajaan nasionalis hancur lebur. Kesedaran satu bangsa – Bangsa Iraqi hancur. Kini jati diri diwakili dengan kesedaran mazhab.

Wilayah Utara Iraq menjadi negara Kurdish. Dari Baghdad ke Basrah menjadi wilayah Shia. Penganut Sunni menduduki diantara dua kawasan ini. Kota Baghdad yang kosmopolitan – dimana warga kota tidak memilih mukim Sunni atau Shia kini hancur. Dalam kota Baghdad daerah dan mukim mula dipisah-pisah melalui mazhab.

Taktik pecah dan perentah ini membawa kejayaan besar kepada Amerika. Perang gerila mengendur dan akhirnya dapat dipatahkan. Puak penentang Amerika dari jalur nasionalis termasuk kumpulan Islamis telah hampir hancur. Mereka berundur ke wilayah padang pasir yang lebih selamat.

Ketika inilah Presiden Obama dengan bangganya membawa bala tentera Amerika meninggalkan Iraq. Pada Disember 2011 Obama mengumumkan semua soldadu dan bala tentera Amerika selamat pulang. Iraq dipulangkan kepada Iraqi dibawah pimpinan Presiden Maliki.

Iraq Baru - dibawah pimpinan Presiden Maliki membawa satu harapan kepada rakyat Iraq. Presiden Maliki diharap-harapkan akan membawa keamanan. Tetapi harapan tinggal harapan. Maliki dilihat bukan Presiden Iraq, bukan mewakili Iraqi tetapi menjadi Presiden Shia. Sikap berpuak Maliki ini cukup tebal dan ini GAGAL untuk melahirkan Iraq Baru pasca Saddam.

Pilihanraya 2010 telah memperlihatkan cara pengundi memilih. Sama saperti yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1955. Melayu undi Melayu. Cina undi Cina. Di Iraq Shia undi Shia dan Sunni undi Sunni. Sikap sekterian mazhab ini semakin menebal.
Pertelingkahan Shia/Sunni ini menjadi bertambah buruk. Naib Presiden Tariq al-Hashemi telah dituduh oleh Maliki bersekongkol. Dengan 'puak pengganas'. Tariq melarikan diri. Pada September 2012 dia telah dijatuhkan hukum mati. Kini Tariq seorang Sunni hidup dalam buangan di Doha.

Sikap sekterian Maliki ini tidak berkesudahan. Kini seorang lagi Menteri Keewangan Iraq dituduh bersekongkol dengan 'puak pengganas'. Raffi al-Issawi dilihat sebagai perwakilan Sunni dalam kabinet Maliki. Pada bulan Disember 2012 sosok ini diserang dan cuba ditangkap. Raffi yang amat-amat dihormati dikalangan Sunni kini melarikan diri. Dengan ini keyakinan warga Sunni terhadap kerajaan Iraq Baru hancur.

Ketika semua ini berlaku Abu Bakar Baghdadi mungkin dalam penjara Amerika di Kem Bucca atau mungkin telah dibebaskan. Apa yang saheh dalam penjara Iraq ada ratusan anak-anak muda Sunni yang telah ditahan oleh soldadu Maliki.

Dalam masa yang sama kumpulanRela Shiaterus menerus membunuh anak-anak muda Sunni walau pun mereka tidak terlibat dalam apa gerakan politik. Shia bunuh Sunni menjadi lumrah hinggakan saban hari mayat bergelimpngan ditemui dipinggir jalan.

Ketika ini juga Amerika sedang menjalankan strateji induk untuk mendominasi telaga minyak dunia. Racangan kaum imperialis Amerika untuk mengepong dan memiliki telaga minyak dunia sedang dijalankan satu persatu. Libya kini telah menjadi wilayah Amerika. Gadaffy telah mati dibunuh. Maka langkah saterusnya ialah menyerang Syria.

Amerika menyerang Syria adalah sebahagian dari tindakan yang telah dilakar dan dirancang. Amerika dengan licik telah menggunakan dasar 'pecah perentah'. Di Iraq Amerika mendokong kerajaan Shia manakala di Syria Amerika menyokong Sunni untuk mengodam Bashir yang dikatakan dari mazhab Shia.

Perang Syria ini telah membuka peluang yang amat baik untuk Al-Qaeda cawagan Iraq. Pada musim panas 2011 mereka telah memasuki Syria. Di Syria Al-Qaeda telah mendapat sambutan hangat. Mereka dilihat sebagai pejuang Sunni.

Saudi, Qatar dan Kuwait telah menyokong dengan dolar dan dinar segala jenis macam kumpulan-kumpulan Sunni yang katakan ingin menumbangkan kerajaan Bashir. Senjata mula masuk mencurah-curah dari Amerika dan sekutunya. Amerika, Britain , Peranchis dan Tutkey telah terlibat secara langsung dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Bashir di Damascus.

Disinilah Al-Qaeda yang berpengalamn dalam taktik perang gerila telah membuktikan ketrampilan mereka. Kalau dahulu mereka hanya menunggu duit zakat dan sedekah kini duit dan senjata datang mencurah-curah. Mereka juga telah mula menjalankan 'road blok' untuk memungut cukai. Melakukan 'rompakan' untuk menambah dana. Al-Qaeda juga telah berjaya menawan telaga minyak di Syria.

Pada bulan April 2013 warga Sunni di Iraq telah melakukan tunjuk perasaan di Bandar Huwija. Seorang soldadu telah 'ditembak' mati. Tapi tindak balas dari Presiden Maliki cukup memeranjatkan. Seramai 56 penunjuk perasaan telah ditembak mati oleh soldadu Maliki. Keadaan ini menjadikan semua pekan dan kota bermajoriti Sunni – Ramadi, Fallujah, Takrit dan Mosul- keluar berdemo untuk bersetia kawan.

Dalam suasana inilah kumpulan Al-Qaeda cawangan Iraq berhujah bahawa – pilihan raya telah dijalankan: hasilnya Menteri Sunni ditangkap. Tunjuk perasaan telah dilakukan hasilnya ramai yang ditembak mati. Al-Qaeda kini berhujah bahawa masanya telah sampai untuk semua anak muda Sunni bangun menentang Maliki dengan mengangkat senjata.

Lima bulan sesudah pembantaian di Huwija – Al-Qaeda telah menyerang penjara Abu Ghraib. Serangan ini membebaskan 500 tahanan. Ini bermakna Al-Qaeda bertambah 500 orang gerila.

Dengan senjata dari Syria dan sokongan warga Sunni Al-Qaeda telah menyerang Ramadi dan Falujjah. Dua kota Sunni ini berjaya ditawan. Amat jelas soldadu Maliki tidak ada kepuayaan untuk menentang kumpulan Al-Qqeda ini.

Pada bulan April 2013 Al-Qaeda Iraq menukar nama untuk menjadi Negara Iraq dan Levan (ISIS) dan melantik Abu Bakar al-Baghdadi sebagai pemimpin. ISIS menghidupkan kembali konsep Khalifah. Konsep ini dilihat telah berjaya menjerut bukan sahaja anak muda di Iraq malah ialah telah menjerut dan memanggil ramai anak-anak muda Sunni dari benua Arab dan Eropah untuk menyertai revolusi dalam usaha untuk menegakan kembali sistem Khalifah Islam.

Laungan Kahlifah Islam ini juga telah sampai ke Malaysia. Justeru lauangan inilah yang telah memanggil saya untuk menulis dan memberi pencerahan tentang ISIS.( TT)

Monday, October 27, 2014

ANTARA KEWARASAN, PERTIMBANGAN ADIL DAN KEJUMUDAN.....UMPAMA SINAR CAHAYA DENGAN KEGELAPAN.


Manusia yang waras akan membuat pertimbangan berlandaskan hukum agama, bukan mendengar berita bersifat fitnah dan mudah pula mempercayainya...Kes yang sepatutnya di bicarakan di Mahkamah Syari'ah tetapi sengaja dgn usaha yng menidakkan rasional dan kemunasabahan dibicarakan dimahkamah sivil...dua manusia di katakan terlibat tetapi ternyata hanya seorang saja yang kena dan cuba di hukum ...manakala seorang lagi terlepas,...disanjung dan mendapat imbuhan lumayan....Chiss!!! undang-undang dan hukum rimba belantara mana yang di pakai???
Tulisan terbaru Yusuf Al-Qaradhawi .
Tentang tuduhan fitnah terhadap Anwar Ibrahim !
Wajib baca dan meneras bro !
SEGALA puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabat serta yang mengikuti petunjuk-Nya.
Malaysia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami, dan kami menaruh kasih sayang terhadapnya dengan hati yang jujur. Impian kami adalah untuk melihat Malaysia sebagai realisasi model Islam yang wasatiyyah, bertamadun, maju dan kontemporari. Semua itu tidak akan berlaku kecuali dengan perjuangan orang-orang ikhlas terdiri daripada anak-anak Malaysia, berusaha dan kerjasama berganding bahu, mereka yang amat ingin untuk menjayakan masa depan negara. Mereka saling bantu membantu sehingga berdiri tegak rakyat Malaysia seluruhnya.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As Saff: 4)
Adalah tidak patut bagi badan kehakiman bertukar menjadi pentas kebencian dan permusuhan politik atau wasilah bagi menjerat pihak lawan di dalam cengkaman kes-kes. Perkara demikian kebanyakannya bertujuan untuk mencalar peribadi melebihi tujuan mencari kebenaran.
Sesungguhnya kami percaya bahawa kemajuan Malaysia, kebangkitan dan kekuatannya terpancar daripada ketinggian nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, dan pengukuhan prinsip-prinsip kepelbagaian pemikiran serta persaingan yang mulia demi berkhidmat untuk negara yang berdaulat ini.
Anwar Ibrahim terdiri daripada pemimpin ternama dengan sejarah dan pengalamannya serta perjuangannya, dan kesabaran serta ketabahannya sejak zaman usia muda sehingga ke hari ini. Anwar sewajarnya dilayani dengan jasa perjuangannya dan kerja gigihnya, bukannya menuduhnya dengan tuduhan-tuduhan batil yang tanpa asas.
Mahkamah sebelum ini telah membebaskannya daripada tuduhan itu. Tetapi jelas bahawa terdapat pihak yang yang merekayasa komplot dan tidak mempedulikan kebaikan negara dan masa depan rakyatnya.
Kami beriman dengan apa yang difirmankan Allah SWT tentang peristiwa Hadithat al Ifk:-
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang- orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
(Surah An Nur 12-13)
Aku menyeru kepada saudara-saudaraku rakyat Malaysia supaya bekerjasama dan saling bantu-membantu. Aku berharap saudara-saudara di Malaysia menjauhkan diri daripada konflik-konflik yang tidak ada faedah di sebaliknya, malah ianya memudaratkan, tidak memberi manfaat, menghancurkan, tidak membina, merosakkan dan tidak mendatangkan kebaikan.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Yusuf al-Qaradawi
Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam
26 Oktober 2014
2 Muharram 1436

Wednesday, October 15, 2014

YANG PELEK, PERIT DAN YANG BENGONG




                 
                                Cendol

YANG PELEK, PERIT  DAN YANG BENGONG

Bila hari berganti minggu,
Tak sabar Si Malik meminang si Dara,
Bagaimana mungkin fikiran rakyat tidak terganggu,
Perkara pelik dan bengong melanda negara.

Membeli raga di Paya Jaras,
Raga  dimuat si ikan parang,
Barang naik harga di katakan di selaras,
Minyak naik harga dikatakan subsidi dikurang.

Nenek  melatah terpijak harta karun,
Habis terkejut jin dan hantu terbatuk terbersin,
Harga minyak mentah dunia di laporkan turun,
Tetiba harga minyak negara ku naik lagi dua puluh sen.

Terbenam mentari di ufuk Barat,
Rembulan menyembul naik tanda patuh dan akur,
Di minta Pak Menteri memberi nasihat,
Menteri kata minyak naik harga rakyat patutnya bersyukur.

Dulu Cap Ayam sekarang cap Cendol,
Itulah peningkatan yang mesti di kekal,
Kalau ayam harga naik makanlah ikan tongkol,
Kalau harga minyak naik,  naik sajalah basikal.

Bukan Cendol sebarang cendol,
Cendol kesukaan anak Pak Hussin
Marilah contohi si Penjual cendol,
Harga minyak naik, harga cendol turun 20 sen.

Perut kerbau sakit tak terkira,,
Beruk dan kera dah lama mati ketawa,
Apa nak jadi kepada negara,
Harga barang semakin naik rakyat hidup makin sengsara.

Harga getah semakin turun,
Sawit dan padi turut merudum,
Petani nelayan semua dah gerun,
Hasil mahsul kaya ekonomi pulak mandom.

Menipu membelit si Tukang Telek,
Menelek nasib, ramalan semua bohong,
Negaraku ada lucu, perit dan banyak pelek-pelek,
Membuat fikiran yang waras menjadi bengong.

PRU dibuat selepas 4 tahun pemerintahan,
Memilih peminpin untuk masa hadapan
Undi dan penentu ada di tangan,
Janganlah lagi bengong bijak-bijaklah  buat pilihan.

Nashuha Al Pontiani,
15 Oktober 2014.