Wednesday, October 28, 2009

PERANCANGAN STRATEGIK MELAHIRKA MODAL INSAN C EMERLANG MINDA KELAS PERTAMA. (ESEI UNTUK PTK) - MOHD NASHUHA BIN JAMIDIN

Ringkasan Eksekutif

Untuk melahirkan modal insan cemerlang minda kelas pertama seperti yang dihasratkan iaitu insan yang mempunyai kebijaksanaan (wisdom) membuat pertimbangan dan keputusan dalam semua aspek kehidupan serta dapat melahirkannya dalam tingkahlaku dan perbuatan bukanlah suatu kerja yang mudah.
Institut pendidikan guru (IPG) seperti organisasi yang saya berada di dalamnya, adalah salah satu wadah yang mampu memainkan peranan amat penting kerana tanggungjawabnya melahirkan para guru atau pendidik saban tahun. Usaha ini memerlukan perancangan strategik yang benar-benar dapat menelah dan menjiwai corak cabaran dan perkembangan dunia yang semakin mencabar dan serba canggih masa kini dan masa depan dan menyediakan wahana untuk melahirkan insan yang mampu menghadapi cabaran tersebut dengan kejayaan yang cemerlang dan mempunyai minda kelas pertama.

Sebagai seorang pensyarah yang juga diamanahkan menjalankan tugas sebagai Ketua Jabatan Sains dan diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras Projek Membina “blueprint” Perancangan Strategik Lima Tahun IPGM Kampus Sultan Abdul Halim (2009-2013) saya akan mengupas persoalan yang memang saya sendiri terlibat sepenuhnya iaitu perancangan strategik bagi melahirkan modal insan cemerlang minda kelas pertama. Dalam huraian dan esei ini saya paparkan perancangan, strategi dan aktiviti yang telah dirancang untuk jangka waktu lima tahun ke hadapan dengan memberi justifikasi yang mantap dan munasabah. Sekiranya kita gagal untuk merancang, sebenarnya kita telah merancang untuk gagal.

1.0 Pengenalan

Sebuah organisasi yang dinamik perlu terus berubah dan bergerak ke hadapan, sesuai dengan tuntutan semasa, keadaan persekitaran dan kehendak masyarakat.
Untuk kekal relevan , sesuatu organisasi perlu sentiasa memberikan perkhidmatan yang bertepatan dengan kehendak pelanggan dan stakeholders.
Kejayaaan sesebuah organisasi bergantung kepada strategi pengurusan untuk menentukan halatuju strategik yang jelas. Oleh itu perancangan strategik merupakan elemen utama untuk terus melangkah ke hadapan dengan teratur dan penuh kejayaan.
Penyediaan perancangan strategik juga akan dapat membantu ke arah memacu transformasi pengurusan IPGM Kampus sultan Abdul Halim (IPSAH) dengan lebih mantap dan berkesan terutama dalam usaha membangunkan modal insan cemerlang minda kelas pertama. Ini bertepatan dengan teras ke-2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menegaskan bahawa modal insan seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran ialah insan yang mempunyai minda kelas pertama iaitu insan yang mempunyai kebijaksanaan (wisdom) membuat pertimbangan dan keputusan dalam semua aspek kehidupan serta dapat melahirkannya dalam tingkahlaku dan perbuatan selain yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya,serta diperkaya modal budayanya.

Saya memilih untuk menjawab soalan ini kerana secara kebetulan saya telah diamanahkan oleh pihak pengurusan organisasi sebagai Penyelaras Projek
Penghasilan Blueprint Perancangan Strategik Lima Tahun IPSAH (2009-2013). Peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan ini saya jalankan dengan penuh minat sejak bulan Januari 2009 dan kini telah sampai ke peringkat penyudahnya (pencetakan).

Perancangan strategik ini juga akan menjadi panduan bagi pelaksanaan program dan aktiviti IPSAH secara sistematik dan komprehensif dengan menjelaskan halatuju,dan menetapkan sasaran yang ingin dicapai sepanjang lima tahun ke hadapan. Natijahnya, penilaian terhadap keberkesanan setiap program yang dilaksanakan dapat dibuat secara berterusan.

2.0 Definisi Konsep

2.1 Perancangan Strategik

Perancangan strategik boleh didefinisikan sebagai proses memadankan dengan strategik matlamat institusi atau organisasi dengan peluang pasaran yang sentiasa berubah . Ia bergantung kepada wujudnya misi yang jelas dibantu oleh matlamat dan strategi yang mantap serta implementasi yang sewajarnya (Kohler d Fox ,1995). Ia juga merupakan satu proses formulasi, implementasi, dan penilaian tindakan-tindakan yang akan mempastikan organisasi berupaya mencapai objektifnya (David, 1986).
Pengurusan strategik boleh dianggap sebagai otak manakala perancangan strategik merupakan tulang belakang kepada pengurusan strategik (Steiner, 1979).

2.2 Pembangunan Modal Insan Cemerlang

Menurut Kamus Dewan pembangunan bermaksud proses membina, mencapai kemajuan, perkembangan dan sebagainya. Manakala modal pula bermaksud sesuatu yang digunakan untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Insan cemerlang pula bermaksud insan yang mempunyai kebijaksanaan (wisdom) membuat pertimbangan dan keputusan dalam semua aspek kehidupan serta dapat melahirkannya dalam tingkah laku dan perbuatan. Fadillah Mansor dalam artikelnya “Pembangunan Modal Insan” (Majalah Visi, April 2007) pula merujuk pembangunan modal insan sebagai pembangunan sumber manusia yang perlu digilap di peringkat awal iaitu semasa di usia muda kerana ia merupakan elemen penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi .
Oleh itu dalam bahasa mudah, pembangunan modal insan cemerlang membawa pengertian proses untuk membina, mengembang dan menghasilkan insan yang mempunyai jati diri, patriotik, bijaksana, berkemahiran dan berdaya saing diperingkat glokal dan global di samping berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai-nilai murni.

2.2 Modal Insan Minda Kelas pertama


Modal Insan Minda Kelas Pertama bermaksud kualiti dan ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.
Menurut pengertian dari Al-Quran, minda kelas pertama yang mampu membentuk insan cemerlang ialah minda yang hebat , sentiasa menjauhi pemikiran dan tindakan yang boleh merosakkan diri dan orang lain, sentiasa bijak dalam membuat keputusan dan sering melakukan muhasabah diri . Mereka juga mempunyai minda yang mampu menerima pandangan dan pendapat orang lain serta berkebolehan untuk berfikir jauh ke hadapan. Minda kelas pertama juga menyerlahkan sikap mental yang mementingkan pemerolehan ilmu dan kemahiran untuk dimanfaat, disumbang dan dikongsi.

“manusia yang berminda kelas pertama ialah mereka yang sentiasa menjana mindanya” (Canterucci, 2005 dalam Ismail Alias 2006)

Kesimpulannya, berdasarkan definisi-definisi dinyatakan di atas, jelas bahawa perancangan strategik yang perlu ada seperti kehendak soalan di atas perlu menekankan kepentingan sumber manusia yang berkualiti sebagai salah satu faktor kritikal bagi melonjakkan IPGM Kampus Sultan Abdul Halim ke status institut pendidikan bertaraf dunia. Institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepimpinan yang berkesan, tenaga pengajar yang berilmu tinggi dan profesional, pelajar yang berkualiti serta memiliki pengetahuan dan kemahiran kurikulum dan kokurikulum yang relevan akan lebih berdaya saing dalam menghadapi persaingan global.

“Sesungguhnya Allah suka akan seseorang yang apabila dia melakukan suatu perkara, ia melakukannya dengan terbaik” – hadith riwayat Al-Baihaqi


3.0 Perancangan Strategik Membangunkan Modal Insan Cemerlang Minda
Kelas Pertama

Dalam perancangan strategik IPSAH khususnya dalam membangunkan modal insan minda kelas pertama saya memberi fokus kepada lima perkara iaitu:
3.1 menghayati dan mengamalkan nilai profesionalisme keguruan,
3.2 menguasai pengetahuan dan kemahiran kurikulum serta kokurikulum,
3.3 menguasai kemahiran pengajaran dan pembelajaran
3.4 membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan
3.5 Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan
Pelan strategik ini menekankan kepentingan sumber manusia yang berkualiti sebagai salah satu faktor kritikal bagi melonjakkan IPGM Kampus Sultan Abdul Halim ke status institut pendidikan bertaraf dunia. Institusi pengajian tinggi yang mempunyai kepimpinan yang berkesan, tenaga pengajar yang berilmu tinggi dan profesional, pelajar yang berkualiti serta memiliki pengetahuan dan kemahiran kurikulum dan kokurikulum yang relevan akan lebih berdaya saing dalam menghadapi persaingan global.


3.1 Menghayati Dan Mengamalkan nilai Profesionalisme Keguruan
(a) Fakta

Sebagai institusi dan organisasi yang bertanggungjawab melahirkan para pendidik maka produk yang dikeluarkan iaitu bakal guru/pendidik sudah semestinya mampu menghayati dan mengamalkan nilai profesionalisme keguruan yang tulin dan berwibawa. Justru dalam perancangan strategik lima tahun ini saya pastikan fokus amalan nilai-nilai profesionalisme keguruan diterap dan digembeling sepenuhnya melalui domain diri, domain profesional,domain sosial dan amalan tujuh budaya institut pendidikan guru (IPG).

b) Huraian

Dalam fokus domain diri, terdapat 14 amalan diri yang harus dihayati oleh warga IPSAH iaitu kepercayaan kepada Tuhan , amanah ,ikhlas,berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa ,berdaya tahan, punya daya saing dan tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela dan efisien. Manakala dalam domain profesional pula amalan yang menjadi fokus perancangan strategik ini ialah 7 amalan meliputi kecintaan terhadap profesion , berketrampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif , kreatif dan inovatif. Ini dilengkapi pula dengan amalan-amalan domain sosial seperti cintakan keharmonian, menguasai kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Sebagai melengkapi amalan profesional keguruan, fokus dalam perancangan ini ialah memastikan setiap pelajar dan warga IPSAH mengamalkan 7 dimensi budaya IPG iaitu, budaya ilmu, budaya kepimpinan, kerja profesional, akhlak dan moral, penyayang, hidup sihat dan budaya estetika.

Antara contoh aktiviti yang telah dirancang yang sudah dilaksanakan ialah,
1. Latihan Pembangunan Staf berfokuskan domain diri, domain profesionalisme, domain sosial dan mengamalkan tujuh dimensi budaya IPG.
Contoh: PERASA, Pembinaan Pasukan, Ceramah/Bengkel Motivasi dan sebagainya.

2. Program-program tambahan untuk guru-guru pelatih berfokuskan domain diri, domain profesionalisme, domain sosial dan mengamalkan tujuh dimensi budaya IPG.
Contoh: Penghayatan Islam/Moral, Penandaarasan, Khidmat Masyarakat, Bengkel Kesedaran, Aktiviti Kecerdasan, Jaringan Pelajar Dalam Dan Luar Negara, dan sebagainya.

c) Kesimpulan

Hasil dari program dan aktiviti-aktiviti strategik melalui perancangan strategik yang melengkapkan diri para pensyarah, guru pelatih dan seluruh warga IPSAH dengan nilai dan amalan profesionalisme keguruan diyakini dapat melahirkan modal insan cemerlang minda kelas pertama. Ini kerana dari fokus ini, akan muncul peribadi-peribadi cemerlang yang dapat dicontohi sehingga terbinalah anggota-anggota masyarakat yang diharapkan melalui sistem pendidikan kita.

3.2 MENGUASAI PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN KURIKULUM SERTA
KOKURIKULUM
a) Fakta

Sebuah pantun lama yang dapat mengungkap secara tepat betapa perlunya seorang pendidik menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kurikulum dan kurikulum perlu direnungi:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.


Fokus kedua dalam perancangan strategik yang menjurus kearah pembinaan modal insan cemerlang minda kelas pertama ialah menyediakan aktiviti dan program yang dapat memperkukuh dan memantapkan perancangan, perlaksanaan, serta pentaksiran dan penilaian program pengajian di IPSAH.

b) huraian
Latihan pembangunan staf yang berfokuskan kurikulum dan kokurikulum dirancang dengan teliti dalam perancang strategik ini bagi memastikan setiap anggota organisasi yang saya anggotai ini sentiasa mengalami anjakan paradigma yang positif dan inovatif.
Contoh: Akktiviti-aktiviti Bengkel, Seminar/ Perbincangan Meja Bulat/ Latihan Dalaman yang berkaitan penguasaan isi kandungan, pemantapan praktikum, kepegawaian & kejurulatihan kokurikulum dan sebagainya sentiasa di adakan bagi tujuan peningkatan pengetahuan dan kemahiran dikalangan pensyarah, pelajar dan juga staf sokongan IPSAH. Aktiviti Tambahan untuk guru-guru pelatih yang berfokuskan pengetahuan dan kefahaman kurikulum dan kokurikulum juga dimasukkan dalam perancangan strategik ini. Contoh: menganjurkan seminar, refleksi praktikum, lawatan sambil belajar,
menganjurkan pameran-pameran, menganjurkan pertandingan-pertandingan
akademik dan kokurikulum, Jaringan Kampus Dalam Dan Luar Negara, dan sebagainya.

b)Kesimpulan
Melalui program dan aktiviti yang sentiasa menambah ilmu dan kemahiran kepada warga organisasi ini, segala cabaran, perubahan era globalisasi akan dapat di tangani dan dihadapi dengan mudah. Perkembangan dunia sains dan teknologi maklumat menuntut individu yang mampu bertahan, berdaya saing dan mempunyai kekuatan mental emosional dam spiritual yang kental. Dunia dah maju ,zaman dah berubah! Saidina Omar Al-Khattab pernah berkata “ ajarlah anak-anak kamu ilmu yang sesuai dengan zamannya”

3.3 MENGUASAI KEMAHIRAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.


a)Fakta
Untuk memastikan setiap pelajar dapat menguasai kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P) saya dan semua pihak yang terlibat dalam membuat perancangan strategik ini, meletakkan strategi yang dapat:
Pertama: Melengkapkan guru dengan kemahiran ikhtisas dengan pelestarian pengetahuan dan teknik penyampaian berkesan.
Kedua : Melengkapkan guru dengan kemahiran insaniah.

b)Huraian

Bagi melengkapkan guru dengan kemahiran ikhtisas dengan pelestarian pengetahuan dan teknik penyampaian berkesan, strategi yang digunakan ialah merangkumi pendekatan mempelbagaikan kaedah P&P dalam bilik kuliah, membudayakan amalan “best practices” berdasarkan kebitaraan. Selain itu usaha dibuat untuk memperkukuh pengajaran mikro dan makro, mengoptimakan perkongsian pintar dengan pihak luar seperti Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP), KIA2M, Teaching School, Program Pensiangan Salinatan, Kurikulum Asli Penan dan sebagainya. Selain itu usaha memperbanyakkan Penanda Arasan P&P dan lawatan sambil belajar juga sering dilakukan ke pelbagai tempat yang difikirkan dapat memberi input berguna.
Untuk memastikan guru dilengkapi dengan Kemahiran insaniah, pendekatan dan strategi yang dilakukan ialah pertamanya dengan mengemaskini penerapan kemaahiran insaniah dalam kurikulum secara eksplisit melalui usaha dan aktiviti Latihan Pembangunan Staf dan bengkel, seminar, latihan dalaman yang berkiaitan dengan pemantapan rohani, jasmani,emosi dan sosial.
Kedua , mengadakan program-program komunikasi berkesan, kursus kemahiran interpersonal dan intrapersonal, pengucapan awam, protokol dan etiket sosial serta kesantunan dan budi bahasa. Contoh aktiviti yang dirancang ialah seperti perkhemahan, kemasyarakatan dan kebajikan tilawah dan smart hafazan, pidato, forum, deklamasi sajak dan sebagainya.

c) Kesimpulan
Saya yakin bahawa dengan memberi penekanan kepada melengkapkan kedua-dua kemahiran P&P dan kemahiran insaniah guru-guru yan dihasilkan bakal memenuhi hasrat kementerian dan seluruh masyarakat Malaysia sebagai guru cemerlang yang melengkapi pakej modal insan cemerlang minda kelas pertama.

3.4 MEMBUDAYAKAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
a)Fakta


Guru merupakan barisan hadapan dalam pembinaan generasi masa hadapan. Selaras dengan itu , profesion keguruan harus sentiasa mendapat penghormatan dan dipandang tinggi. Justru itu, fokus membudayakan pembelajaran sepanjang hayat saya letakkan sebagai satu strategi dalam perancangan strategik IPSAH untuk memenuhi tuntutan membina modal insan cemerlang minda kelas pertama. Untuk mengangkat martabat guru , kesedaran pada diri guru itu amat penting khususnya dalam membuat perubahan paradigma yang perlu membudayakan pendidikan sepanjang hayat, penguasaan disiplin ilmu yang tinggi, berfikiran kreatif, kritis serta inovatif.
Strategi dan pendekatan yang dikenalpasti untuk dilaksanakan dalam perancangan strategik ini ialah pertama meningkatkan penglibatan pensyarah dan guru pelatih secara aktif dalam aktiviti keilmuan dan menggalakkan budaya membaca.

b)Huraian

Berbagai aktiviti dan program keilmuan boleh dirancang dan dilaksanakan bagi melibatkan pensyarah dan guru pelatih dalam aktiviti keilmuan . Antaranya ialah
Seperti program Wacana, forum, syarahan perdana, percambahan minda, speaker corner, perbincangan, morning prayer, lunch talk, perbincangan meja bulat, bengkel dan penerbitan. Selain itu dalam perancangan strategik ini juga dimasukkan aktiviti pertandingan membaca, SAC, Reading List dan sebagainya.

Penganjuran kempen kesedaran membaca, ulasan buku semasa perhimpunan pelajar, pertandingan resensi buku, SAC, membudayakan pembacaan di internet (budaya on-line) dan sebagainya akan dapat membantu mencapai matlamat ini.
Sebagai contoh, program Wacana Profesional yang dijalankan oleh jabatan sains setiap bulan telah banyak menyumbang ke arah memupuk budaya ilmu, kemesraan dan memberi motivasi di kalangan pensyarah jabatan tersebut. Setiap pensyarah akan membicarakan satu tajuk yang dikuasainya seperti memberi syarahan umum mengikut minat dan kepakaran masing-masing untuk dikongsi bersama mengikut giliran.

c)Kesimpulan

Membaca sebagai jambatan ilmu harus dipupuk dikalangan warga IPSAH kerana Al-Qur’an sendiri dari awal ia diturunkan dimulai dengan arahan ‘Iqra’ yang bermakna ‘bacalah’… Jadi untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat apa jua program yang mendorong dan menggalakkan individu minat dan mahu membaca adalah menjadi kunci ke arah itu. Saya berkeyakinan bahawa jika sepanjang lima tahun perancangan strategik ini dijalankan mengikut jadual dan pendekatan yang betul matlamat menjadikan modal insan cemerlang minda kelas pertama dapat dicapai.

3.5 Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan

Penyelidikan dan inovasi profesionalisme keguruan merupakan unsur penting yang berjalan seiring dengan keempat-empat fokus strategi pembinaan modal insan cemerlang minda kelas pertama seperti dibincangkan di atas. Ia menjadi pemangkin untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan dan institusi pendidikan. IPG Kampus Sultan Abdul Halim mematlamatkan warga pendidik yang mengamalkan budaya ilmu yang meliputi budaya penyelidikan, konsultansi dan inovasi secara berterusan. Untuk merealisasikan matlamat ini, perancangan strategik lima tahun (2009 – 2013) memberi tumpuan kepada usaha pembudayaan dan pengupayaan pembangunan penyelidikan; pemantapkan jaringan penyelidikan pembangunan; dan pendokumentasian serta penataran hasil penyelidikan.

a)Fakta

Pada masa ini di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, terdapat seramai 8 orang pensyarah yang memiliki ijazah kedoktoran dan 4 orang lagi dalam proses menyiapkan tesis kedoktoran masing-masing. Seramai 157 orang pensyarah memiliki ijazah sarjana dalam pelbagai bidang pengajian. Dengan kepakaran pensyarah-pensyarah IPG pembangunan penyelidikan mampu dilaksanakan.

b)Huraian

Bertitik tolak dari keadaan semasa, saya dan jawatankuasa perancangan strategik telah mensasarkan fokus dan objektif yang dapat dijadikan asas dan panduan bagi melonjakkan budaya penyelidikan dalam organisasi IPSAH. Perancangan strategik ini mensasarkan antara lain:
i) Meningkatkan keupayaan penyelidikan dan inovasi profesionalisme keguruan di peringkat IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan kebangsaan.
ii) Mewujudkan dasar penyelidikan dan inovasi profesionalisme keguruan IPG Kampus Sultan Abdul Halim
iii) Memantapkan pengetahuan dan keupayaan asas penyelidikan
iv) Mewujudkan mekanisme pembiayaan penyelidikan
v) Mengadakan seminar penyelidikan peringkat IPG/ zon/ kebangsaan
vi) Mengiktiraf usaha penyelidikan melalui insentif menarik
vii) Mewujudkan sistem menjamin kualiti penyelidikan dan penulisan

Selain itu strategi mewujudkan perkongsian pintar dalam penyelidikan di peringkat IPG Kampus Sultan Abdul Halim, IPG-IPG lain , JPN, IPTA, IPTS, badan-badan berkanun, dan pihak swasta dengan cara:
(a) Menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan pendidikan guru
(b) Mewujudkan penyeliaan bersama IPG dan IPTA
(c) Meningkatkan kredibiliti dan kredential pensyarah IPG Kampus Sultan
AbdulHalim melalui program kerjasama dengan IPTA dan IPTS dan
(d) Menyediakan pangkalan data penyelidikan IPG Kampus Sultan Abdul Halim
turut diberi penekanan.

Akhir sekali ialah usaha memantapkan pendokumentasian hasil penyelidikan pendidikan meliputi:
(a) Mendokumentasikan hasil penyelidikan guru, guru pelatih dan pensyarah
(b) Melaksanakan bengkel dan kursus berkaitan dengan pendokumentasian hasil
penyelidikan, perlindungan hasil penyelidikan,perlindungan harta intelek dan penerbitan.
(c) Menerbitkan jurnal berwasit
(d) Menatarkan hasil penyelidikan melalui pelbagai media dan sumber
(e) Menyebarluaskan hasil penyelidikan

c)Kesimpulan

Dengan pelaksanaan strategi-strategi ini, diharapkan warga IPSAH akan lebih menyerlah kecemerlangannya dalam merealisasikan budaya ilmu yang meliputi budaya penyelidikan , konsultansi dan inovasi secara berterusan. Kesemua ini akan menjadi penyumbang kepada pembentukan modal insan cemerlang minda kelas pertama yang diharapkan.

PENUTUP

Proses pembinaan insan cemerlang khususnya yang memiliki minda kelas pertama bukanlah proses yang mudah yang mengambil masa yang singkat tetapi ia memerlukan perancangan strategik jangka pendek dan jangka panjang yang rapi serta kerjasama dari semua pihak. Tanggungjawab yang berat ini bukan hanya terletak kepada guru tetapi juga sekolah, institut perguruan, jabatan pelajaran dan kementerian pelajaran seluruhnya. Ini kerana pendidikan memainkan peranan utama memenuhi tuntutan untuk membentuk insan cemerlang yang mampu mengambil bahagian dalam masyarakat.

Modal insan merupakan nadi pembangunan atau kemajuan sesebuah negara. Faktor sokongan seperti prasarana yang kondusif,yang merupakan pemangkin kepada pemantapan modal insan perlu diberi perhatian yang serius. Begitu juga faktor tadbir urus, ia perlu bergerak bersama menjayakan misi dan visi sesebuah organisasi. Usaha untuk pembinaan dan pemantapan modal insan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh,ini melibatkan semua pihak yang berkepentingan ke arah kecemerlangan pendidikan guru.

Jika perancangan strategik dibina tetapi aspek pelaksanaan dan penilaian dan pemantauan tidak berjalan seiring, ia tidak akan mendatangkan hasil yang diharapkan. Oleh itu semua pihak diperingkat pelaksanaan termasuk para pemimpin, pendidik, ibu bapa, pentadbir bahkan para pelajar mesti berkerjasama dan memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab.

Senarai Rujukan
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) & Peraturan-peraturan Terpilih, International Law Book Services, Petaling Jaya.(2006)

Awang Had Salleh ( 1980 ) ” Keguruan dan Perguruan di Malaysia”: Keperihalan kini dan arah yang ditujui ”. KONPEN, Johor Bharu.

Fadillah Mansor dalam artikelnya “Pembangunan Modal Insan” (Majalah Visi, April 2007)

Modal Insan Cemerlang, Minda kelas Pertama, Edisi Pelancaran, Kementerian Pelajaran Malaysia 2008.

Panduan Budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Bahagian Pendidikan Guru
2006

Pelan Induk Pembangunan Perdidikan 2006 – 2010 - Kementerian Pelajaran Malaysia

Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (SAMBUTAN HARI GURU 2005) -Laman Web Rasmi Sambutan Hari Guru 2005

Perutusan Khas Hari Guru 2007 YB. Dato’ Seri Hishamudin bin Tun Hussein Onn,
PIPP Membangunkan Modal insan: Pelan yang komprehensif, holistik dan realistik, dalam Pendidik, Keluaran February 2007.

Friday, October 23, 2009

MENGHADIRKAN HATI SEWAKTU SOLAT (RAHSIA KHUSYUK)



Makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, mengikut pandangan Imam Ghazali, terhimpun di dalam enam perkara, iaitu hudur al-qalb (kehadiran hati), tafahhum (usaha memahami bacaan dan perbuatan), ta'zim (mengagungkan) , haibah (takut yang timbul daripada perasaan hormat atau mengagungkan) , raja'(harap) , dan haya'(malu).

Hudur al-qalb

Yang dimaksud dengan hudur al-qalb ialah mengosongkan hati daripada selain yang kita sedang lakukan dan ucapkan, sehingga kita mengetahui apa yang kita lakukan dan apa yang kita ucapkan dan fikiran, kita tidak berkeliaran kepada selain keduanya. Selama fikiran kita berpaling daripada selain keduanya dan dalam hati kita tidak ada selain ingatan terhadap apa yang sedang kita hadapi dan tidak ada sebarang kelalaian terhadap setiap sesuatu, maka tercapailah dengannya kehadiran hati. Faktor utama bagi kehadiran hati adalah himmah, iaitu minat, keinginan atau perhatian, kerana hati seseorang akan menjadi perhatiannya. Jika seseorang berminat pada sesuatu atau mengingini sesuatu atau menaroh perhatian pada sesuatu, maka hatinya akan hadir padanya, sama ada ia kehendaki atau tidak, sebab hati dijadikan bertabiat demikian.

Apabila hati kita tidak hadir dalam solat, maka ia tidak menganggur, tetapi berkeliaran ke berbagai macam urusan dunia yang diminati atau menjadi perhatian utamanya. Maka tidak ada cara untuk menghadirkan hati kita kepada solat, melainkan dengan memalingkan minat dan perhatian kita kepada solat. Minat atau perhatian kita tidak akan terpaling kepada solat selama belum jelas bahawa tujuan yang dicari bergantung kepadanya. Yang demikian adalah keimanan dan kepercayaan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih berkekalan daripada dunia, dan bahawa solat merupakan sarana untuk mencapainya. Jika perkara ini didukung oleh hakikat pengetahuan tentang betapa tidak berharganya dunia dan betapa sedikit kepentingannya jika dibanding dengan akhirat, maka akan tercapailah daripada keseluruhannya kehadiran hati dalam solat.

Jika dengan sebab seperti ini, hati anda boleh hadir bila anda berada di hadapan orang besar atau raja yang tidak berkuasa menimpakan bahaya atau memberi manfaat kepada anda, dan tidak boleh hadir pada waktu anda bermunajat di hadapan Maha Diraja, Yang ditanganNya segala kerajaan, kekuasaan, manfaat dan bahaya, maka janganlah anda menyangka bahawa hal tersebut memiliki sebab lain selain daripada kelemahan iman.

Oleh sebab itu, berjuanglah anda untuk memperkuat keimanan anda yang lemah tersebut.

Tafahhum

Tafahhum atau memahami makna ucapan merupakan perkara di luar kehadiran hati. Boleh jadi hati hadir bersama lafaz yang diucapkan, tetapi tidak bersama makna lafaz tersebut. Kehadiran hati bersama pengertian tentang makna lafaz yang diucapkan inilah yang dimaksud dengan tafahhum.

Dalam kefahaman ini manusia berbeza-beza, kerana mereka tidak sama dalam memahami makna-makna yang terkandung di dalam Al-Qur'an dan berbagai tasbih. Bahkan kefahaman seseorang itu sendiri berbeza dari semasa ke semasa. Berapa banyak makna-makna yang halus yang difahami oleh seseorang yang sedang menunaikan solat, padahal sebelumnya tidak pernah terlintas di dalam hatinya. Melalui kefahaman terhadap makna-makna yang terkandung di dalam bacaan inilah solat mencegah orang-orang yang menunaikannya daripada segala perkara yang keji dan mungkar. Faktor penyebab timbulnya tafahhum, setelah kehadiran hati, ialah sentiasa berfikir dan mengarahkan fikiran ke arah usaha untuk mengetahui dan memahami makna. Usaha menimbulkan tafahhum ialah dengan menghadirkan hati beserta menghalakan pemikiran ke arah memahami makna lafaz yang dibaca dan usaha menolak berbagai lintasan fikiran yang liar.

Cara menolak lintasan fikiran yang menyibukkan ialah dengan memutuskan atau memotong berbagai perkara yang boleh menjadi bahan pemikiran, yakni menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang membuat fikiran tertarik kepadanya. Jika perkara-perkara yang menjadi bahan fikiran itu tidak dilenyapkan, maka fikiran tidak akan dapat dipalingkan daripadanya. Sesiapa yang mencintai sesuatu, maka ia pasti banyak mengingatinya, dan ingatan itu pula pasti akan melanda hatinya. Oleh sebab itu, maka kita melihat bahawa orang yang mencintai selain Allah, solatnya tidak akan terhidar daripada berbagai lintasan fikiran yang liar.

Ta'zim

Ta'zim juga merupakan perkara di luar kehadiran hati dan kefahaman, kerana seseorang mungkin mengatakan kepada hamba sahayanya perkataan-perkataan yang ia fahami maknanya dengan kehadiran hati, tetapi ia tidak mengagungkannya, ertinya tanpa ta'zim. Jadi ta'zim adalah tambahan ke atas keduanya. Ta'zim ini merupakan keadaan hati yang lahir daripada dua makrifat:

Pertama: Makrifat akan kemuliaan dan keagungan Allah, yang merupakan salah satu asas keimanan. Sesiapa yang tidak diyakini keagungannya, maka jiwa tidak mahu mengagungkannya.

Kedua: Makrifat akan kehinaan diri dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.

Daripada kedua makrifat tersebut lahirlah perasaan istikanah (yakni pasrah dan merendah diri), inkisar (lemah, tidak terdaya) dan khusyu' kepada Allah, yang diungkapkan dengan perkataan ta'zim. Selama kedua makrifat tersebut belum wujud, maka tidak akan timbul keadaan ta'zim dan khusyu'.

Seseorang yang merasakan kecukupan, tidak memerlukan pihak lain dan merasa aman atas dirinya mungkin mengetahui sifat-sifat keagungan pihak lain, tetapi pada dirinya tidak ada perasaan khusyu' dan ta'zim, kerana makrifatnya akan keagungan pihak lain tersebut tidak disertai oleh makrifat lain, iaitu makrifat kehinaan dirinya dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.

Haibah

Haibah adalah tambahan ke atas ta'zim, bahkan ia merupakan perasaan takut yang berpunca daripada ta'zim, kerana orang yang tidak takut tidak dapat dikatakan ha'ib. Perasaan takut kepada kala atau ular atau kejahatan seseorang atau yang seumpamanya daripada sebab-sebab yang hina tidak dinamakan haibah, kerana haibah adalah perasaan takut yang berpunca daripada sikap atau perasaan mengagungkan.

Haibah dan khawf adalah keadaan jiwa yang timbul daripada makrifat akan kekuasaan Allah, akan pengaruh dan berlakunya segala kehendaknya ke atas dirinya, dan pengetahuannya bahawa sekiranya Allah membinasakan seluruh manusia, yang dahulu maupun yang kemudian, maka yang demikian itu tidak akan mengurangi kerajaanNya sedikitpun juga. Yang demikian, di samping mengetahui akan segala yang berlaku ke atas para nabi dan para Wali, daripada berbagai musibah dan bermacam-macam ujian, meskipun Allah SWT Maha Kuasa untuk menolaknya. Berbeza dengan keadaan yang disaksikan daripada raja-raja dunia.

Kesimpulannya, semakin bertambah ilmunya tentang Allah, maka semakin bertambahlah rasa takut dan haibahnya kepadaNya.

Raja'

Raja' atau harap pula merupakan tambahan. Beberapa banyak orang yang mengagungkan seseorang raja yang ditakuti, kebaikannya. Seorang hamba adalah sudah selayaknya mengharapkan dengan solatnya ganjaran daripada Allah swt, sebagaimana ia takut bila mencuaikannya akan seksaanNya.

Faktor penyebab timbulnya raja' adalah makrifat akan kelembutan, kedermawanan, keluasan ni'mat, keindahan ciptaan, dan pengetahuan akan kebenaran segala janji Allah swt., khususnya janji Syurga bagi orang-orang yang menunaikan solat. Jika telah wujud keyakinan akan kebenaran janjiNya dan pengetahuan akan kelembutanNya, maka timbullah raja.

Haya'

Haya' merupakan tambahan bagi semua perkara di atas, kerana ia timbul daripada perasaan melakukan kecuaian dan perasaan berdosa. Mungkin sahaja pada seseorang terdapat kesemua yang lain, yakni ta'zim, haibah, raja dan lain-lainnya, tetapi tidak ada padanya haya', kerana tidak ada padanya perasaan melakukan sebarang kecuaian ataupun melakukan sebarang perbuatan dosa.

Maka perasaan haya' ini hanya akan muncul dengan adanya perasaan kekurangan, atau kecuaian dalam ibadat, dan mengetahui akan ketidak mampuan diri untuk mengagungkan Allah sepenuh hakNya. Dan perasaan tersebut menjadi lebih kuat lagi dengan mengetahui akan kecacatan diri, kekurangan ikhlasnya, keburukan batin dan kecenderungannya kepada memperoleh keuntungan yang segera dalam segala amal perbuatannya, di samping mengetahui akan besarnya konsekuensi yang dituntut kebesaran Allah, dan bahawa Dia Maha Mengetahui akan segala rahasia dan lintasan hati sehingga kepada yang sekecil-kecilnya. Semua pengetahuan ini jika telah diperoleh secara yakin, pasti akan menimbulkan suatu keadaan yang dinamakan haya'(malu).

Inilah sifat-sifat atau makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, dan faktor-faktor penyebabnya. Setiap perkara yang dituntut memperolehnya, maka caranya adalah dengan menghadirkan faktor penyebabnya. Dengan mengetahui faktor penyebabnya, maka kita akan mengetahui cara mewujudkannya. Penghubung kesemua sebab-sebab tersebut adalah keimanan dan keyakinan. Kekhusyu'an hati adalah mengikut kadar keyakinan, dalam erti semakin tinggi kadar keyakinan seseorang, maka semakin tinggi pula kadar kekhusyu'annya.

Dengan melihat kepada perbezaan makna-makna yang telah disebutkan di dalam hati, maka manusia terbahagi kepada orang yang lalai yang menyempurnakan solatnya tanpa kehadiran hatinya, walau sesaatpun; dan orang yang menyempurnakan solatnya dan hatinya tidak lalai walaupun sesaat, seluruh perhatiannya tertumpu pada solatnya, sehingga ia tidak menyedari apa yang berlaku di hadapannya, bahkan ada sekumpulan manusia yang wajah mereka menjadi pucat dan sendi-sendinya menggeletar.

Bahagian tiap orang daripada solatnya adalah mengikut kadar kekhusyu'an, pengagungan, perasaan takut dan lain-lainnya daripada makna-makna tersebut, kerana yang menjadi tempat perhatian Allah swt adalah hati, bukan gerakan anggota badan yang nampak. Pada hari kiamat nanti, tidak ada yang selamat melainkan orang yang datang menemui Allah swt dengan hati yang selamat.

Usaha Menghadirkan Hati Dalam Solat

Seorang mukmin, di samping beriman, ia juga tidak terlepas daripada keadaan mengagungkan Allah swt, takut, menaruh harapan, dan merasa malu kepadaNya atas kecuaian dan kekurangannya. Meskipun kekuatan keadaan tersebut bergantung kepada kadar kekuatan keyakinannya, tetapi terlepasnya dirinya daripada keadaan tersebut dalam solat tidak mempunyai sebab lain selain daripada berpencarnya fikiran, bercawangnya lintasan, ketidak hadiran hati pada munajat dan kelalaian daripada solat.

Tidak ada yang melalaikan seseorang daripada solat selain lintasan-lintasan yang mendatang yang menyibukkan atau mengganggunya. Tidak ada cara untuk menghadirkan hati melainkan dengan jalan menolak atau mengusir lintasan-lintasan tersebut. Sesuatu tidak dapat ditolak atau diusir melainkan dengan menolak atau mengusir sebab-sebabnya. Oleh sebab itu, hendaklah ia mengetahui sebab-sebabnya. Sebab datangnya lintasan-lintasan tersebut sama ada merupakan perkara yang datang dari luar, atau pun perkara yang datang dari dalam dirinya sendiri.

Yang datang dari luar, sama ada yang mengetuk telinga atau nampak bagi penglihatan, yang meragut perhatian, sehingga mengikutnya dan hanyut terbawa olehnya, kemudian fikirannya pun terseret kepada perkara-perkara lainnya secara berantai. Penglihatan menjadi sebab pemikiran, kemudian sebahagian daripada pemikiran-pemikiran tersebut menjadi sebab bagi sebahagian yang lainnya. Orang yang kuat niatnya dan tinggi minat atau perhatiannya, segala yang berlaku pada pancainderanya tidak akan membuatnya lalai. Tetapi orang yang lemah, fikirannya pasti akan berpencar kerananya.

Mengatasinya adalah dengan memutuskan atau menghalang sebab-sebab tersebut dengan memejamkan penglihatan, solat di tempat yang gelap, tidak membiarkan sesuatu yang boleh menyibukkan perasaannya berada di hadapannya, solat dekat dinding agar tidak luas jarak penglihatan, dan menghindari solat di tepi atau menghadap ke jalan, atau solat di tempat-tempat yang penuh dengan perhiasan, atau diatas permaidani yang berwarna-warni, apalagi yang dilukis dengan bermacam-macam lukisan.

Oleh kerana itulah, maka para ahli ibadat beribadat di dalam ruangan yang kecil atau sempit, supaya lebih dapat menumpukan perhatian. Orang-orang yang kuat daripada kalangan mereka meghadiri masjid-masjid dan menundukkan pandangan dan tidak melampaui pandangan mereka dari tempat sujud. Mereka berpendapat bahawa daripada kesempurnaan solat adalah bahawa kita tidak mengetahui siapa di sebelah kanan dan kiri kita. Ibnu Umar r.a. tidak membiarkan di tempat solatnya ada sebarang mushaf atau pedang melainkan beliau menyingkirkannya, dan tidak ada sebarang tulisan melainkan beliau menghapusnya.

Adapun sebab-sebab batin yang datang dari dalam diri kita sendiri, maka ia lebih susah mengatasinya. Sesungguhnya orang yang memiliki obsesi yang bercawang-cawang di lembah-lembah dunia, fikirannya tidak tertumpu pada satu aspek sahaja, tetapi sentiasa berkeliaran dari satu aspek ke aspek lain, sehingga menundukkan atau memejamkan pandangan tidak lagi berguna baginya. Apa yang telah bersemayam di dalam hati sebelumnya telah cukup menyibukkannya.

Cara mengatasinya adalah dengan menarik jiwa secara paksa untuk memahami apa yang dibaca di dalam solat dan menyibukkannya dengannya sehingga melupakan yang lainnya. Perkara lain yang boleh membantunya ialah mempersiapkan diri sebelum takbirat al-ihram dengan memperbaharui ingatan akan akhirat, kedudukan munajat dan pentingnya berdiri di hadapan Allah swt Yang Maha Melihat, di samping mengosongkan hatinya daripada perkara yang boleh menarik perhatiannya sebelum takbiraat al-ihram.

Rasulullah saw bersabda kepada Usman Bin Talhah:

Maksudnya: "Aku lupa mengatakan kepadamu supaya engkau menutup periuk yang ada di rumah. Sesungguhnya tidak semestinya di dalam rumah ada sesuatu yang boleh melalaikan manusia daripada solatnya".

Ini merupakan salah satu cara menenangkan fikiran. Apabila gelora fikirannya tidak dapat ditenangkan dengan cara ini, maka tidak ada yang dapat menyelamatkannya melainkan dengan menumpas atau mencabut materi penyakit dari akar umbinya, iaitu dengan melihat kepada perkara-perkara yang menghalang usaha menghadirkan hati. Tidak syak lagi bahawa yang demikian kembali kepada berbagai perkara yang diminati, yang telah menjadi perhatian utama bagi syahwatnya, maka ia menghukum jiwanya dengan melepaskan diri daripada syahwat-syahwat tersebut dan memutuskan berbagai ikatannya.

Setiap perkara yang melalaikan seseorang daripada solatnya membahayakan agamanya dan merupakan tentera Iblis, musuhnya; maka memegangnya lebih berbahaya daripada membuangnya. Oleh sebab itu, ia hanya dapat melepaskan dirinya daripadanya dengan membuangnya, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah r.a. bahawa beliau berkata:

"Nabi SAW mempunyai khamisah (pakaian daripada wool yang padanya terdapat lukisan), maka baginda memberikannya kepada Abu Jahmah dan mengambil sebagai gantinya anbijaniyahnya (pakaian daripada wool yang paling kasar dan paling rendah mutunya). Mereka berkata: Wahai Rasulullah, khamisah lebih baik daripada anbijaniyah.

Baginda saw bersabda: Aku melihat lukisannya dalam solat".

Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, tidak melalui Aisyah r.a.

Nasai dan Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau berkata:

"Bahawa Rasulullah saw mengambil sebentuk cincin dan memakainya. Kemudian baginda bersabda: Cincin ini, sejak hari ini, telah melalaikan aku daripada kamu, sekejap aku melihat kepadanya dan sekejap aku melihat kepadamu. Kemudian baginda membuangnya" .

Diriwayatkan bahawa baginda saw telah memerintah menggantikan tali terompahnya dengan yang baru. Kemudian baginda saw tergerak hatinya untuk melihatnya dalam solatnya, kerana barunya. Maka baginda pun memerintahkan supaya menggantikannya dengan tali yang lama kembali.

Diriwayatkan bahawa Abu Talhah menunaikan solat di dalam kebunnya, maka tiba-tiba beliau tertarik dengan seekor binatang yang terbang di atas pokok mencari jalan keluar. Beliau mengikutinya dengan pandangannya, kemudiannya beliau terlupa berapa rakaat beliau telah solat? Beliau pun menceritakan fitnah yang terjadi pada dirinya kepada Rasulullah saw, dan beliau berkata: "Kebun itu aku sedekahkan, aturlah mengikut kehendak tuan hamba".

Demikianlah mereka bertindak untuk memutuskan perkara yang menjadi bahan pemikiran, selain juga sebagai kesempurnaan solat. Itulah ubat yang mujarab bagi penyakit tersebut dan tidak ada ubat lainnya yang bermanfaat.

Adapun ubat penenang dan ajakan memahami zikir yang dibaca, maka ia hanya bermanfaat untuk mengatasi syahwat yang lemah dan keinginan atau minat yang tidak menyibukkan kecuali pinggiran hati. Adapun syahwat yang kuat yang bergelora, ubat penenang tidak berguna dan ia akan terus menariknya dan terus menarik anda, kemudian mengalahkan anda sehingga musnah seluruh solat anda dalam usaha tarik menarik. Walaupun demikian, anda tidak boleh meninggalkan mujahadah atau berhenti berusaha untuk mengembalikan hati kepada solat dan mengurangi sebab-sebab yang melalaikan.

Itulah ubat yang pahit, dan kerana pahitnya dianggap buruk oleh tabiat, sehingga penyakit yang ada menjadi kronik dan sukar disembuhkan.