Monday, November 8, 2010

SOLAT DAN KEHEBATAN AURA NYA - MAHA SUCI ALLAH



Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Waktu Subuh
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan… Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Dipetik dari tulisan Ust. Zahazan

Tuesday, November 2, 2010

GUNUNG MERAPI MURKA LAGI


BANYAK LAGENDA: Gunung Merapi mengeluarkan kepulan-kepulan asapnya. Tarikh 26 Oktober lalu mencatatkan satu lagi sejarah hitam bagi Indonesia apabila gunung di Jawa Tengah ini meledak hingga menghamburkan laharnya setinggi hingga 1.5 kilom

LEGENDA DI SEBALIK GUNUNG MERAPI

GUNUNG Merapi di Jawa Tengah merupakan salah satu daripada 129 gunung berapi yang aktif di Indonesia.

Di seluruh dunia terdapat kesemuanya 1,500 gunung berapi yang aktif.

Berkongsi nama yang sama dengan Gunung Merapi di Jawa Tengah ini ialah Gunung Merapi yang juga dikenali sebagai Gunung Marapi di Sumatera Barat, dekat Bukittinggi.

Kedua-dua gunung ini sama aktif. Manakala Gunung Merapi di Jawa Tengah tingginya 2,968 meter, Gunung Merapi di Sumatera Barat mempunyai ketinggian 2,891 meter.

Sepanjang yang diketahui, Gunung Merapi di Jawa sudah meledak 69 kali sejak 1548, sementara gunung di Sumatera sudah meledak 50 kali sejak abad ke-18.

CATAT LAGI SEJARAH

Selasa, 26 Oktober lalu, mencatatkan satu lagi sejarah hitam bagi Indonesia apabila Gunung Merapi di Jawa Tengah, dekat kota budaya yang sibuk, Yogyakarta, meledak dengan menghamburkan lahar setinggi hingga 1.5 kilometer.

Mengikut catatan, Gunung Merapi di Jawa Tengah ini adalah antara gunung berapi di Indonesia yang paling kerap meledak.

Antara ledakan terbesarnya berlaku pada tahun 1006, mengakibatkan seluruh Jawa diselaputi abu. Ledakan itu juga dikatakan penyebab kejatuhan kerajaan Hindu Mataram, walaupun tiada bukti kukuh untuk mengesahkannya.

Sebelum ini, Gunung Merapi juga pernah meledak pada 2006.

Apa yang membahayakan ialah adanya ribuan penduduk yang masih tinggal di lereng-lereng gunung ini sehingga setinggi 1,700 meter, sedang asap dari lahar yang bergelegak terus keluar dari kawah gunung hampir sepanjang tahun.

Sebelum ledakan Selasa lalu, dari 23 hingga 24 Oktober, 500 gegaran disebut sebagai 'batuk' oleh orang tempatan, dicatatkan di gunung berapi itu.

Namun, lebih daripada ledakan demi ledakan yang terjadi pada gunung tersebut, adalah kisah-kisah misteri atau mistik di sebaliknya.

ASAL-USUL MERAPI

Kalau kita bertanya penduduk di wilayah Kawastu dekat gunung itu, mereka mempercayai bahawa Gunung Merapi itu adalah jelmaan daripada Gunung Jamurdipo.

Menurut cerita yang tersebar di sana, sebagaimana diungkapkan oleh Lucas Sasongko Triyoga dalam bukunya, Manusia Jawa dan Gunung Merapi terbitan Gadjah Mada University Press, 1991, sewaktu Pulau Jawa diciptakan para penduduk desa, keadaannya tidak seimbang kerana ia miring ke barat. Ini kerana di hujung barat itu terdapat Gunung Jamurdipo.

Atas saranan seorang berpengaruh bernama Dewa Krincingwesi, gunung itu dipindahkan ke bahagian tengah agar seimbang.

Pada ketika itu, di tengah Pulau Jawa terdapat dua adik-beradik - Empu Rama dan Permadi.

Mereka berdua sedang membuat keris pusaka Tanah Jawa, namun diarah memindahkan kegiatan mereka. Kededuanya enggan.

Ini menyebabkan Dewa Krincingwesi murka. Beliau kemudian mengangkat Gunung Jamurdipo dan menghempaskannya tepat di lokasi tempat adik-beradik itu membuat keris pusaka.

UBAH NAMA

Kedua-dua beradik itu akhirnya meninggal, terkubur hidup-hidup ditimpa Gunung Jamurdipo.

Untuk memperingati peristiwa itu, Gunung Jamurdipo diubah namanya menjadi Gunung Merapi.

Seorang cendekiawan, Profesor Dr M. Bambang Pranowo dari Universiti Islam Negeri, Jakarta, pernah menulis bahawa Gunung Merapi memang banyak keunikannya.

'Sebagai orang Jawa yang tinggal dekat Gunung Merapi, sejak kecil saya pun sering menyaksikan keunikan di sekitar Merapi.

'Misalnya, saya sering mendengar suara gamelan bertalu-talu di kedung Sungai Mangu yang bersumber dari lereng Merapi.

'Padahal, di sana tidak ada penduduk yang sedang menabuh (memukul) gamelan,' tulisnya.

Menurutnya, keindahan Gunung Merapi bukan hanya terletak pada alamnya, tetapi juga legenda-legendanya.