Monday, April 27, 2009

10 WASIAT PENTING UNTUK DIRENUNG DAN DIHAYATI




Saudara ku, syukur ke hadrat Ilahi, masih diberi kesempatan menghirup udara dan bernafas hingga ke saat ini. Pada kesempatan ini saya nukilkan wasiat dari manusia hebat dalam sejarah peradaban manusia. Beliau ialah Imam Syafie rahimahumullah.


SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

SEMOGA KITA DIBERI KEKUATAN MELAKSANAKAN WASIAT INI SEBAIK-BAIKNYA. AMIEN!

Wednesday, April 8, 2009

JADILAH MANUSIA YANG BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN

Saudara Ku…

Kita hidup didunia ini hanyalah sekadar singgah untuk mengumpulkan bekalan /pahala untuk dibawa ke Akhirat kelak. Secara umumnya Manusia didunia ini boleh dikategorikan kepadai empat jenis :

1. Manusia yang hidupnya pendek dan manfaatnya sedikit
2. Manusia yang hidupnya panjang tetapi manfaatnya sedikit
3. Manusia yang hidupnya pendek dan manfaatnya banyak
4. Manusia yang hidupnya panjang dan manfaatnya banyak

Mungkin kita ingat sabda Rasulullah “Sebaik-baik manusia diantaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain ” (HR. Bukhari).”

Manusia yang hidupnya pendek dan manfaatnya sedikit.
Ini adalah jenis manusia yang wajar kita hindari, Alangkah celakanya kita jika tergolong dalam hidup seperti ini .. Sudahlah umurnya pendek, tidak pula bermanfaat kepada orang lain.

Manusia yang hidupnya panjang tapi manfaatnya sedikit.
Hidup yang mungkin hanya mendapatkan kenikmatan di dunia saja padahal Allah sudah memberi kesempatan kepadanya untuk memperbaiki hidupnya akan tetapi disia-siakan.

Manusia yang hidupnya pendek dan manfaatnya banyak,
Syukurlah manusia yang dikurniai Allah hidup seperti ini. Walaupun hidupnya di dunia sebentar akan tetapi dia bermanfaat bagi dirinya dan orang lain.

Manusia yang hidupnya panjang dan manfaatnya banyak ..
Subhanallah … Allahu Akbar, Maha Besar Allah yang telah menjadikan hamba ini panjang umur dan sangat bermanfaat bagi dirinya sendiri dan orang lain.
Kita harus ingat, sekecil apapun perbuatan kita yang baik tentu Allah akan membalas kebaikan itu sesuai dengan nisbahnya, kemudian ditiru oleh orang lain maka pahala yang diberikan oleh Allah selain untuk orang tersebut juga diberikan kepada orang yang memberi contoh perbuatan baik itu tanpa mengurangi sedikitpun pahala yang diberikan pada yang mengerjakannya. Begitu juga sebaliknya kalau kita memberi contoh perbuatan yang tidak baik tentu dosa itu akan berbalik kepada orang yang memberi contoh pertama kalinya. Bayangkan sudah berapa banyak dosa yang terhimpun pada diri kita hanya gara-gara memberi contoh yang tidak baik kemudian ditiru oleh orang lain ? Ibarat Multi Level Marketing, semuanya akan berantai sampai dihujungnya. Jadi … tinggal anda menghitung sendiri seberapa besar manfaat anda hidup di dunia ini bagi diri anda sendiri dan orang lain …

Wallahu a’alam

Tuesday, April 7, 2009

TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH! APABILA DATANG YANG HAK,YANG BATIL PASTI LENYAP!

MAJORITI : Nizar - 2,764
MAJORITI : Manikumar - 2,398


YANG DITUNGGU SUDAH MENJELMA,
SEGALA DEBARAN TERJAWAB AKHIRNYA,
DUA BUKIT SUDAH JATUH KE RIBA,
BATANG AI TAK APA, AKAN SAMPAI WAKTUNYA.


Dalam tulisan saya mengenai politik sebelum ini, sudah saya nukilkan bahawa sejarah kejatuhan sesuatu tamadun manusia terjadi adalah natijah kebejatan, kejahilan serta kebobrokan akhlak masyarakat tersebut. Selain itu kehilangan jati diri dan kelemahan minda serta kelesuan budaya berfikir turut menyumbang kepada kejatuhan tersebut. Sudah lebih 20 tahun budaya RASUAH,POLITIK WANG (SATU ISTILAH CUBA MENGHALALKAN RASUAH)YANG BERLELUASA DIKEMBANGBIAKKAN SEMASA ERA PENTADBIRAN MAHATHIR,telah memamah keutuhan solidariti parti pemerintah yang ditunjangi UMNO. Rentetan merebaknya virus rasuah dan pelbagai penyelewengan dan kerja-kerja tidak bermoral nampaknya sukar dibendung ibarat penyakit kanser yang sudah pada tahap 4 menjangkiti parti komponen lainnya seperti MCA dan MIC. Ibarat kanser tahap 4, saya kira memang sukar dirawat. Kembalinya Mahathir ke dalam UMNO hanya memburukkan keadaan dan menambah perpecahan dalaman.

Satu kesedaran yang saya kira agak jujur dilontarkan oleh Timbalan presiden UMNO Muhyidin Yassin semasa diminta komen oleh wartawan. Kata beliau "Saya akan menyarankan agar ditubuhkan panel Bebas untuk membuat postmortem kenapa kita kalah, kepada PM. Ia bebas dan bukan dibawah naungan UMNO",. Ini satu pernyataan jujur menunjukkan bahawa kredibiliti serta integriti UMNO dan BN memang sudah tidak dapat dijadikan sandaran apatah lagi rujukan.