Blog ini dibuat semata-mata untuk memberi sedikit sumbangan dalam bentuk buah fikiran, berkongsi pengalaman dan menyahut seruan Rasulullah s.A.W 'Balighu anni walau ayah'. (Sampaikan dari ku walau satu ayat). Segala persoalan yang di utarakan akan meliputi, hal-hal dunia dan akhirat, isu-isu semasa, politik, perubatan dan pelbagai ilmu untuk mendidik masyarakat. Dengan harapan 'apabila datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan kerana sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap'- maksud hadis.
Saturday, February 7, 2009
RENUNGKAN INI BAGI MEREKA YANG GILA INGIN MENJADI PEMIMPIN. KEMUDIAN BANDINGKAN DENGAN TRAGEDI KATAK LOMPAT DI PERAK
Apabila seseorang itu dilantik atau dipilih sebagai pemimpin, maka itu sebenarnya bukanlah satu berita gembira baginya. Kepimpinan bukan satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan,tetapi kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak.
Justeru, apabila seseorang itu dilantik sebagai pemimpin, maka janganlah ia mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan duniawi dengan menafikan hak orang lain. Manusia sering kali lupa daratan apabila berada dipuncak kejayaan. Mereka lebih suka mempamerkan kekayaan masing-masing melebihi daripada pendapatan yang diperolehi.
Mereka lupa bahawa Saidina Umar bin Al-Khatab, walaupun baginda hanya tinggal dalam rumah yang dibina daripada tanah liat dan hidup dengan penuh kezuhudan (kesederhanaan) , namun namanya tercatat didalam sejarah sebagai seorang pemimpin yang berjaya menggerakkan kuasa dunia ketika itu. Baginda adalah seorang pemimpin yang sangat dikagumi oleh kawan dan digeruni oleh musuh tanpa perlu mempamerkan kemewahan hidup baginda.
Kehebatan seseorang pemimpin itu bukanlah terletak pada kemewahan, sebaliknya kehebatan seseorang pemimpin itu terletak kepada kebijaksanaannya dalam menjalankan amanah Allah s.w.t.
Kita bimbang budaya hidup mewah ini akan menjadikan seseorang pemimpin itu terlajak dan betindak mengambil hak orang lain demi untuk membina imej mewah mereka. Sesungguhnya mengambil hak orang lain itu adalah merupakan satu kezaliman yang perlu dihindari. Nabi s.a.w mengingatkan kita di dalam sepotong hadisnya yang bermaksud :
" Sesiapa yang pernah menganiaya saudaranya, maka hendaklah dia meminta halal daripadanya pada hari ini, sebelum datang hari (kiamat), yang ketika itu ia tidak memiliki satu dinar mahupun satu dirham. Jika ia memiliki amal soleh, maka akan diambil pahalanya itu mengikut kadar kezalimannya. Dan jika ia memiliki pahala kebaikan , ia perlu mengambil dosa kejahatan sahabat yang dizaliminya itu (sebagai bayaran) lalu ia dicampakkan keneraka".
Allah s.w.t memberi amaran, supaya jangan mempergunakan kedudukan dalam apa jua jawatan sekalipun untuk mengaut keuntungan dan membina kekayaan melalui firmannya dalam surah al-baqarah ayat 188 yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain diantara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu dengan memberi rasuah kepada hakim-hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya".
Perlu disedari, perbuatan mengenai orang lain amat berbahaya kepada kita, kerana sesungguhnya doa orang yang dizalimi sangat dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Jika kita mengenai seseorang , lantas orang itu menadah tangan memohon doa kepada Allah, maka dengan cepat Allah akan memakbulkannya. Sesungguhnya tidak ada satu hijab yang menghalang doa seseorang yang dizalimi itu daripada didengar dan diperkenankan oleh Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Berhati-hatilah daripada doa orang yang dizalimi, sesungguhnya diantara dia dengan Allah tidak ada tabir penyekat (yakni yang menghalang doanya dimakbulkan)".- Riwayat Ahmad
Satu lagi penyakit yang sangat berbahaya dan mudah berjangkit kepada mereka yang bergelar pemimpin ialah penyakit rasuah. Orang yang memegang kuasa seringkali terdedah dengan amalan rasuah. Suatu ketika Abdullah bin Umar r.a pernah berkata :
"Rasulullah s.a.w melaknat pemberi dan menerima rasuah"
Sesungguhnya islam menyuruh umatnya menghindarkan diri daripada penyakit ini dan apa-apa sahaja yang menjurus kearah rasuah. Bahawa baginda Rasullullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa yang memberi pertolongan dan sokongan kepada saudaranya untuk mendapatkan sesuatu, lalu saudaranya itu memberikannya hidayah kerana pertolongan itu , maka dia telah datang kepada satu pintu yang besar diantara pintu-pintu riba' "- Riwayat Abu Dawood
Apa yang penting disini ialah pemimpin mempunyai tanggungjawabnya terhadap apa yang dipimpinnya seperti memenuhi keperluan rakyat, menjaga keselamatan mereka, membawa kearah kebaikan dari sudut yang dipimpin juga mestilah mematuhi dan menghormati pemimpin dalam apa jua keadaan asalkan bersesuaian dengan agama. Untuk itu, pemimpin itu diibaratkan sebagai pelayan yang mesti melayan kehendak rakyatnya dan rakyat juga mmesti melayan keperluan pemimpin. Walaupun diantara mereka tidak sama dari sudut pangkat, tetapi mesti saling menunaikan tanggungjawab dan merasakan sama-sama saling perlu memerlukan antara satu sama lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment