Sunday, November 8, 2009

LANGKAWI SEMAKIN SEPI, BERDEPAN KEGAWATAN EKONOMI, KEMBALI LAH KEPADA ATURAN ILAHI


Ketika menulis dalam blog ini, saya baru kembali dari Pulau Lagenda Mahsuri, Langkawi setelah 4 hari menghadiri mesyuarat. Suasana agak sepi berbanding sebelum ini, harga kereta sewa pun sekitar RM 40 sahaja sehari, lebih murah berbanding dahulu.
Pemandu teksi agak gusar dengan perkembangan ekonomi semasa. Kegawatan ekonomi negara dan langkah kerajaan melakukan penjimatan dengan pelbagai pemotongan perbelanjaan, memberi petanda aktiviti pelancungan dalam negara akan merosot. Tidak akan ada banyak lagi pakej-pakej kursus, mesyuarat dan sebagainya akan dibuat dengan langkah tersebut di pulau ini menjelang 2010. Langkawi bakal sepi...
Pengusaha-pengusaha hotel akan berhadapan masalah perniagaan, pertumbuhan ekonomi akan terbantut...

Dari segi kaedah, manusia atau pemimpin bijak akan berjimat semasa ekonomi kukuh sebagai langkah berkhemah, bukan semasa dah tak ada duit, papa kedana baru nak jimat!!
Ini jika diperhatikan, semasa negara kita mewah, kita lupa diri. Kes-kes rasuah berprofil tinggi begitu banyak tanpa penyelesaian yang tuntas. Usaha melindungi konco dan kroni berleluasa menghakis integriti. Fitrah Ilahi, ...hasil tangan-tangan manusia itu sendiri angkara semua ini terjadi... Kerja-kerja pemborosan para pemimpin tidak dapat diselindung lagi... Penindasan dan kezaliman kian menjadi-jadi... Oleh itu jangan salahkan Ilahi.

Ingatan dan Pesan saya, cuba ikut TIP INI:

1) Lindungi & Kukuhkan Punca Pendapatan


Mereka yang bekerja makan gaji, inilah masanya untuk anda meningkatkan lagi prestasi kerja anda dengan cara melebihkan sedikit sewaktu bekerja, bekerja dengan lebih tekun, serta meningkatkan lagi kemahiran-kemahiran anda. Berbelanja tidak melebihi had yang kita mampu. Selain itu, sentiasa hidup dalam keadaan tidak menunjuk-nunjuk. Hidup dalam keadan tenang, gembira dan bersyukur pada setiap masa. Seperti firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 12:

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Lukman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barang siapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

2) Tambahkan Punca Pendapatan Anda


Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menambahkan punca pendapatan. Ramai orang yang memberikan alasan dan berkata.. "Saya bukannya tak mahu buat, cuma takde masa?". Zaman sudah berubah, dunai dah maju, sudah ada banyak peluang-peluang menjana pendapatan sampingan yang tidak memerlukan anda menghabiskan banyak masa seperti berniaga dan sebagainya yang halal di sisi Islam. "Mencari yang halal itu satu kewajipan setiap Muslim"

3) Kurangkan Perbelanjaan Anda

Walaupun tidak bimbang akan kehilangan pekerjaan, kita sewajarnya perlu menyimpan seberapa banyak yang boleh untuk perlindungan. Sebahagian pakar ekonomi mengatakan, perlu menyimpan untuk menampung keperluan hidup untuk selama 6 bulan sehingga 9 bulan. Dengan mempunyai simpanan tunai, kita dapat membuat perancangan kita di masa kecemasan. Melabur untuk masa hadapan hanya boleh dilakukan jika kita mempunyai pendapatan yang lebih di setiap hujung bulan. Cuba-cubalah lihat kembali bagaimana kita dapat mengurangkan apa-apa juga perbelanjaan harian atau bulanan. Contohnya seperti bil-bil perkhidmatan dan apa-apa juga jenis pembayaran bulanan anda. Elakkan daripada pembaziran perbelanjaan yang bukan keperluan.

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan"

4) Membuat Pelan Perbelanjaan


Dengan membuat pelan perbelanjaan atau budjet, ia dapat mengawal perbelanjaan kita dan dapat mengenal pasti jumlah yang perlu kita buat simpanan untuk setiap bulan. Dengan mempunyai pelan perbelanjaan juga akan dapat membantu kita untuk membuat keputusan pelaburan. Buatlah pelaburan yang bersistematik terutamanya pada waktu pasaran menurun.

5) Amalan "Berkira" dan Menabung


Dalam situasi semasa di mana kos kehidupan semakin hari semakin meningkat, maka sebagai pengguna kita perlu "berkira" ketika berbelanja. Jika dahulu kita telah pun mengambil langkah berjimat cermat, kini kita perlu lebih berhati-hati ketika berbelanja. Berjimat cermat tidak cukup dengan sekadar membelanjakan kesemua pendapatan bulanan pada setiap bulan, seharusnya ada perancangan dan usaha untuk menyimpan atau menabung pendapatan bulanan tersebut, kerana amalan atau budaya untuk menyimpan atau menabung sangat penting bagi kegunaan masa depan. Tabungan atau menyimpan bukan dikira samada banyak atau sedikit, tetapi sentiasa konsisten pada setiap masa.

6) Elakkan Tabiat Berhutang


Selain dari mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap aspek kehidupan dengan berjimat cermat dan tidak melakukan perbuatan membazir, kita juga tidak digalakkan berhutang. Berhutang atau meminjam seharusnya tidak dijadikan satu kelaziman dalam kehidupan zaman ini, walaupun ada ketikanya ia tidak dapat dielakkan kerana keperluan mendesak seperti pembelian rumah dan kereta. Namun paling ketara dan perlu diberi perhatian yang serius ialah penggunaan kad kredit. Dengan pendapatan bulanan minimum RM 1,500.00 saja, seseorang sudah layak menggunakan kad kredit. Melalui pelan bayaran balik yang sedikit jumlahnya pada setiap bulan telah menyebabkan ramai yang terlupa. Sebenarnya mereka juga perlu membayar balik jumlah hutang atau kredit yang telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih panjang.

Setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan harus setimpal dengan nilai barangan atau perkhidmatan yang anda perolehi. Dengan cara ini, barulah kita berjaya menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

Berikut disenaraikan beberapa panduan berguna kepada pembaca untuk memastika mereka memperolehi nilai maksimum daripada setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan.

* Beli barang keperluan, termasuk barangan dapur, secara pukal.
* Amalkan tabiat membandingkan harga barangan di antara beberapa kedai sebelum
membeli.
* Tukar tabiat daripada suka membeli barangan import kepada barangan buatan
tempatan.
* Kurangkan (atau elakkan) makan di luar.
* Sediakan bekal kepada anak-anak untuk ke sekolah.
* Elakkan membeli barangan mewah seperti kereta, pakaian, barangan kemas,
perabot dan aksesori berjenama.
* Jika anda mampu dan berkebolehan, carilah masa serta ruang untuk menyediakan
sendiri peralatan rumah seperti menjahit langsir dan pakaian keluarga.
* Elakkan daripada mengadakan kenduri di hotel atau restoran mewah.
* Bagi yang mempunyai kenderaan, carilah masa yang sesuai untuk mencuci sendiri
kenderaan anda.
* Elakkan membeli minuman siap yang dibotolkan.
* Jika berkesempatan dan lebih ekonomi, anda dan pasangan juga boleh membawa
bekal ke tempat kerja atau pejabat.
* Jika perlu, tanam sendiri sayur-sayuran.
* Pujuk diri sendiri supaya tidak terpengaruh dengan kempen jualan murah atau
apa juga bentuk promosi.
* Sediakan senarai barang keperluan yang hendak dibeli sebelum anda keluar
membeli-belah.
* Elakkan membawa wang melebihi jumlah yang anda ingin berbelanja.
* Jangan bawa kad kredit ketika membeli belah.
* Elakkan daripada membuat hutang baru.
* Tingkatkan tabungan anda dan keluarga.

SEMOGA KITA SEMUA DILINDUNGI ALLAH DARI KEMELARATAN DAN MEMINTA-MINTA.

No comments: