Tuesday, June 23, 2009

PPSMI OH PPSMI.......MENGAPA SUKAR BENAR PEMIMPIN NAK MEMAHAMI KEHENDAK RAKYAT!!!???



Setelah enam tahun bantahan demi bantahan dibuat, persidangan demi persidangan meja bulat dianjurkan, sehingga ke tahap berarak di jalan raya, menuntut agar PPSMI dihapuskan, akhirnya :
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran MENEGASKAN bahawa keputusan akhir mengenai dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) akan diumumkan awal bulan depan (Julai).
Seandainya keputusan tersebut lebih kepada PEMANSUHAN dasar tersebut, ia bakal menjadi suatu tindakan yang akan melegakan hati seluruh rakyat, pelajar, warga pendidik dan para pencinta Bahasa yang begitu gusar dan tidak bersetuju dengan dasar yang merugikan ini. "Satu Malaysia Rakyat di dahulukan, pencapaian diUtamakan" .
Muhyiddin juga mengakui bahawa setakat ini, pencapaian dasar tersebut - yang dimulakan sejak 2003 - adalah nominal,yakni tidak memberi impak yang besar dalam penguasaan bahasa Inggeris mahupun pencapaian Sains dan Matematik. Kenyataan ini selari dengan beberapa kajian sebelum ini, termasuklah kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama lapan institusi pengajian tinggi tempatan Februari lalu mengenai tahap kompetensi guru dalam PPSMI serta implikasinya terhadap pembangunan modal insan.
Kajian itu berasaskan sampel dari 553 orang guru dan 15,089 pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan Orang Asli .
PPSMI merugikan murid.

Dari aspek keupayaan perlaksanaan dasar, kajian itu mendapati ramai lagi guru yang belum layak mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di mana 39.3% guru (74) sekolah rendah dan 25.3% guru (93) sekolah menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris.

Dari segi status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris murid-murid pula, PEMBINA mendapati:

Sekolah rendah: Sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan bahasa Inggeris.

Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.

Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya dua mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Di mana, jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.

Kajian PEMBINA juga mendapati pelaksanaan PPSMI menyebabkan kerugian berganda kepada murid-murid, terutama kepada kira-kira 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Analisa membuktikan sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5,590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 SK seluruh negara, menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009).
Muhyiddin juga turut menjelaskan bahawa pendekatan terbaik bagi penguasaan bahasa adalah dengan menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut.
SESUNGGUHNYA PERJUANGAN ITU PERLUKAN PENGORBANAN DAN JERIH PAYAH. KEKUATAN DAN KEJAYAAN SUATU PERJUANGAN ADALAH KEBENARAN. BERKATA BENARLAH WALAUPUN IA PAHIT. APABILA DATANG YANG HAK, MAKA LENYAPLAH YANG BATIL.

No comments: