Tuesday, October 18, 2016

ADA APA DENGAN NEKAD



ADA APA DENGAN NEKAD

Nekad…
Kau tidak ada dalam kamus Eropa
Hanya dalam kamus Melayu Nusantara
Keranamu leluhurku mampu bertahan lama
Ratusan tahun hidup di bawah penjajah durjana
Belanda, Portugis, Inggeris,  Jepun dan Inggeris semula

Nekad…
Keranamu bangsaku tidak mati kebuluran
Keranamu  penjajah lari tak sanggup bertahan
Denganmu keliling dunia Panglima Awang lakukan
Denganmu berkobar semangat jihad dan perjuangan
Denganmu juga SiJebat menuntut bela menyanggah Sultan

Nekad…
Kau adalah semangat Jihad
Saka baka leluhur dan warisan keramat
Membujur lalu melintang patah sudah dinobat
Berpantang mati sebelum ajal dipegang digenggam erat
Biar putih tulang jangan putih mata cogan kata kukuh disemat

Nekad…
Kaulah senjata ampuh di samping doa
Menjadikan kau Bangsa Gagah tak gentar siapa
Konsep tawakkalmu terpacak kejap mengatasi ragu dan alpa
Memberi tak mengharap balasan semua kerana sedeqah ibadah mulia
Yakin bahawa rezeki, jodoh pertemuan dan ajal maut semua dalam genggaman Nya

Nekad…
Bila sudah diucap disemat dan digenggam
Jangan ada yang cuba menghalang memperlekehkan
Semua menjadi kecil, mudah dan mampu dikendali dibereskan
Diiringi keikhlasan menjadi kekuatan terhebat menghambat rintangan
Kawan dan lawan mengangkat tangan tanda dirimu hebat digeruni Syaitan

Nashuha Jamidin Al Pontiani
Villa Nashuha, Sungai Petani
19 Oktober 2016


No comments: