Thursday, December 11, 2008

Kemelesetan Ekonomi Mula melanda Malaysia - KEMBALILAH KEPADA DASAR EKONOMI ISLAM

Kemelesetan ekonomi mula melanda Malaysia



Sebelum membicarakan persoalan kemelesetan ekonomi yang bahangnya mula membakar setiap minda dan benak setiap manusia yang masih perlu menyuap mulut masing-masing dengan rezeki Allah bagi meneruskan hidup, cuba perhatikan beberapa analisis dan ledakan kebimbangan manusia-manusia yang kononnya punya peranan penting dan digelar pakar ekonomi.

1) Kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, pekerja di negara ini dijangka akan merasai kesan kemelesetan ekonomi dunia mulai Februari atau Mac depan, .
Menurut beliau lagi setakat ini hanya kira-kira 3,000 pekerja tempatan telah diberhentikan dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sedang membantu mereka mendapatkan pekerjaan lain selain melatih golongan terbabit di institut latihan kendalian Jabatan Tenaga Manusia.Sumber

2) Kadar pengangguran tahun depan mungkin meningkat kepada 4.5 peratus berbanding kira-kira 3.5 peratus tahun ini dalam kelembapan ekonomi global sekarang, demikian menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

3) Menurut pengarah eksekutifnya, Professor Emeritus Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, berkata dalam suku ketiga tahun ini, rakyat Malaysia yang menganggur berjumlah 12,000 orang dan jumlah itu semakin meningkat. Sumber
Sektor-sektor yang dijangka mudah terjejas adalah sektor penerbangan berikutan berkurangnya pelancong luar, sektor otomobil, sektor perumahan dan sektor perkilangan barangan elektronik.

4) Kini adalah bergantung kepada langkah-langkah kerajaan untuk membendung masalah ini dari terus menjadi serius. Namun begitu, prestasi ekonomi negara-negara Asia adalah bergantung pada kestabilan ekonomi China. Jika China juga bergelut (dengan krisis ekonomi semasa), ekonomi-ekonomi lain di Asia turut akan berdepan dengan tempoh yang sukar.

Ketua Pengarang Majalah Le Journal de Finance, Roland La Sceen, dalam pembukaan majalahnya awal bulan ini menulis lebih berani dan jelas dengan tajuk "Apakah Wall Street sudah layak untuk menerapkan prinsip-prinsip syariah Islam?" Dalam tulisan berkenaan, beliau menyeru akan betapa pentingnya menerapkan syariah Islam dalam bidang kewangan dan ekonomi untuk mengehadkan kemaraan krisis yang menggoncang pasaran global akibat permainan kotor ke atas prinsip-prinsip kontrak dan sangat berlebihan dalam transaksi-transaksi semu (palsu) yang haram.

Beliau mendedahkan bahaya yang menimpa sistem kapitalis dan merayu untuk mencari penyelesaian alternatif ke atasnya dengan memberikan beberapa jalan penyelesaian dan berada di urutan atas adalah penerapan syariah Islam walaupun ia bercanggah dengan adat istiadat Barat dan kepercayaannya.

Seorang penulis dan pengkaji wanita berasal dari Itali, Loretta Napolioni, baru-baru ini menulis buku bertajuk Iqtisad Ibn Awa (Ekonomi Ibnu Awa). Dalam buku ini, dijelaskan bahawa perbankan Islam menjadi alternatif yang sesuai bagi perbankan Barat dengan ranapnya bursa dunia dan krisis hutang di Amerika Syarikat.

Sistem perbankan konvensional sudah mula nampak keakutan penyakitnya dan memerlukan penyelesaian dari akar umbi.

Dalam laporannya, detik.com pada 22 Oktober lalu menulis: "Ketika bank-bank konvensional terlilit masalah akibat krisis kewangan, jumlah pelanggan Islamic Bank of Britain (IBB) meningkat lima peratus, termasuk pelanggan sektor pembiayaan yang naik menjadi 13 peratus. Di antara pelanggan baru itu, ramai pelanggan bukan Islam."

Pengarah Komersial IBB, Sultan Choudhury, berkata, orang kini beralih ke bank Islam kerana bank berasaskan Islam memiliki perlindungan yang lebih baik daripada pengaruh kredit tak berbayar yang saat ini menimpa bank konvensional. IBB, tambah Choudhury, tidak mengambil pinjaman berasaskan faedah daripada bank lain dan memiliki pelaburan berasaskan aset yang berkualiti tinggi.

Konsep syariah yang dilaksanakan dalam produk industri perbankan kini semakin bertambah dan meluas setelah wujudnya persaingan antara pengamal pasaran peringkat tempatan dengan pengamal pasaran antarabangsa.

Jika sebelum ini banyak produk perbankan Islam menggunakan konsep syariah yang terhad seperti wadi'ah termasuk yad al-damanah, murabahah, BBA, Inah dan bai al-dayn, kini banyak konsep syariah yang lain diguna pakai seperti ijarah, mudarabah, musyarakah dan tawarruq.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa pengamal perbankan Islam kini semakin bersedia dan memahami keperluan kepada mempertingkatkan kepelbagaian produk bagi memenuhi kehendak pelanggan yang memerlukan kepada produk kewangan Islam yang patuh syariah. Selain inisiatif pengamal pasaran, ulama Islam juga mula menunjukkan kefahaman mereka terhadap struktur produk yang lebih kompleks dan pelbagai.

Kontrak yang diamalkan dalam kewangan Islam umumnya terbahagi kepada dua jenis kontrak iaitu kontrak yang bersifat 'uqud musamma' dan 'uquq mustajiddah'. Kontrak yang lahir daripada 'uqud musamma' lazimnya mudah dilaksanakan kerana segala syarat yang perlu ada pada kontrak itu telah dibahaskan oleh ulama fikah terdahulu seperti jual beli, ijarah, salam dan sebagainya. Sementara kontrak yang bersifat mustajiddah, maka ia perlu kepada takyif fiqhi yang jelas dan ijtihad secara kolektif agar pelaksanaannya lebih menepati asas syarak.

Lazimnya kontrak yang bersifat mustajiddah lebih banyak diamalkan dalam konteks kewangan semasa antaranya murabahah li al-a
mir bi al-syira', ijarah muntahiyah bi tamlik, musyakah mutanaqisah, qard, mudharabah, wakalah bi istithmar dan sebagainya.

Dengan istilah produk kewangan Islam ini sudah cukup dibuktikan bahawa sistem kewangan Islam memang inovatif dan ia sesuai untuk keperluan manusia di setiap tempat dan masa. Di samping itu, sistem ini adalah sistem terapan dari pemahaman terhadap al-Quran dan hadis Nabi yang sudah pasti akan membawa keberkatan.

Lihat dan renungkan penjelasan Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan ) dalam komentarnya strategi ekonominya di Kelantan:

"Islam melarang duit membuat duit,mana boleh kita duduk diam-diam,duit datang berterusan,itu namanya riba, sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah,kenderaan dan komputer,mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini,"katanya lagi.

Manakala ketika ditanya tentang pelaburan di negeri ini, Tuan Guru berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini seperti dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi,minuman dari alkohol dan pelbagai kegiatan maksiat.

Keberkatan pasti terserlah apabila Islam menjadi panduan.
Cogan kata ini sentiasa bermain dibibir saya sejak Revolusi Iran dulu..

No East No West,
Islam is The Best!





1 comment:

solihin said...

sememangnya, ekonomi berasaskan kapitalist yang selalu ditentang oleh golongan sosialis dan komunis pasti akan kecundang juga. Lepas ini pasti akan berlaku peperangan yang dipaksakan oleh kuasa2 besar. Giliran Iran dan pakistan kut kena lanyak Amerika. Lepas tu Kuasa imperialis kayanraya jual senjata. Gua gerenti punya ini mainan yahudi.